Tiada penebangan balak dilulus kerajaan PN

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor meminta provokasi murahan membabitkan penebangan balak dihentikan segera kerana dakwaaan berkenaan tidak berasas sama sekali.

Muhammad Sanusi berkata, tiada aktiviti penebangan balak yang diluluskan kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) sehingga sekarang.

- Advertisement -

Katanya, kawasan pembalakan di Hutan Ulu Muda seluas 22,000 hektar dilulus ketika Kedah ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Manakala kata beliau, penerokaan mineral Rare Earth Elements (REE) yang dijumpai di perut bumi dirancang di kawasan yang sudah digondol dua tahun lalu.

“Semua kawasan tersebut dilulus Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika era pentadbiran lepas,” kata beliau pada sidang media di Kompleks Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) hari ini.

Baru-baru ini, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia dilapor mempertikai hasrat kerajaan negeri mahu meneroka industri REE yang dianggarkan bernilai RM62 bilion di Kedah.

Presidennya, Puan Sri Dr Shariffa Sabrina Syed Akil mendakwa kawasan cadangan pengekstrakan itu terlampau luas selain melibatkan kawasan hutan simpan.

Sanusi juga berkata, Jabatan Geologi Sains lebih arif berkenaan galian tersebut.

“Buat masa sekarang hanya permit teroka sahaja dikeluarkan dan bukannya kebenaran mencari gali,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/12/2020

- Advertisement -