Potensi TAPS di IADA Kemasin Semerak – KASA

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak di sini berpotensi menjadi projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Kelantan, kata Menteri Air dan Alam Sekitar Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Ini kerana katanya kawasan itu mempunyai takungan air yang besar.

“Cuma sedikit masalah apabila air masin atau air laut (ketika air pasang) masuk, sumber air itu menjadi payau. Mungkin satu kajian akan dibuat pihak kementerian untuk meneliti sejauh mana kita dapat mengawal air masin yang masuk. Sekiranya sesuai dan berfungsi dengan baik, mungkin kita boleh jadikannya salah satu projek TAPS,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja di IADA Kemasin Semerak, Gong Kulim di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Pengarah IADA Kemasin Semerak Nik Hamadi Nik Abdullah.
 
Tuan Ibrahim menjelaskan TAPS merupakan kaedah baharu yang diperkenalkan kementeriannya dengan menghentikan air takungan sebelum disalurkan semula ke laut dan dimanfaatkan sebagai sumber bekalan air.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata kira-kira RM1.8 juta diperuntukkan bagi membina satu lagi pintu kawalan air pasang surut (TCG) di Pasir Puteh untuk mengurangkan risiko banjir di daerah berkenaan.

Menurut beliau, TCG itu akan dibina di kawasan Bukit Gedombak, dekat sini menerusi Rancangan Malaysia ke-12. – BERNAMA

- Advertisement -