Kanabis kekal di bawah Akta Dadah Berbahaya

- Advertisement -

PERSIDANGAN Semula Sesi ke-63 Suruhanjaya Dadah Narkotik pada 2 Disember 2020 di Vienna telah bersetuju menerima usul untuk menggugurkan Kanabis dan Resin Kanabis dari Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961).

Dalam hal ini, Kementerian Dalam Negeri ingin menegaskan bahawa keputusan Persidangan tersebut tidak mengubah status kawalan Kanabis dan semua bahan-bahan berkait Kanabis dalam negara.

- Advertisement -

Kanabis dan bahan-bahan berkait Kanabis kekal dikawal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana tindakan undang-undang tetap akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang- undang ini seperti sedia ada.

Bagi peringkat Antarabangsa, keputusan Suruhanjaya Dadah Narkotik tersebut untuk menggugurkan Kanabis dan Resin Kanabis dari Jadual IV Konvensyen 1961 juga tidak melonggarkan kawalan Antarabangsa terhadap Kanabis kerana ia masih kekal dikawal ketat di bawah Jadual I Konvensyen 1961.

Malaysia sebagai ahli dalam ketiga-tiga Konvensyen Dadah Antarabangsa iaitu Konvensyen 1961, Konvensyen Mengenai Bahan Psikotropik 1971 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Perdagangan Haram Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik 1988 kekal komited untuk membanteras jenayah narkotik di peringkat domestik serta global.

YB DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDDIN
Menteri Dalam Negeri
4 Disember 2020 – HARAKAHDAILY 4/12/2020

- Advertisement -