Majlis Presiden PN platform terbaik

- Advertisement -

KANGAR: Cadangan pembentukan Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) dianggap sebagai platform terbaik bagi membincangkan dasar-dasar kerajaan dan mengukuh kerjasama antara parti.

Mursyidul AM PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata penubuhan Majlis Presiden akan mengukuhkan lagi keputusan yang dibuat parti-parti yang bergabung di bawah PN.

- Advertisement -

Katanya apabila diputuskan Majlis Presiden ia menggambarkan setiap keputusan yang dibuat berdasar kehendak setiap parti yang berada di bawah naungan PN.

“Jika Majlis Presiden tidak diwujudkan, kemungkinan ada dalam kalangan pimpinan mengeluarkan pandangan yang hanya melibatkan parti itu sahaja dan tidak diterima parti yang lain.

“Jadi dengan wujudnya majlis seperti itu boleh menyatukan pandangan antara parti-parti yang terdapat dalam gabungan PN,” katanya di sini hari ini.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN yang berlangsung kelmarin setuju mencadang pembentukan Majlis Presiden sebagai platform untuk membincangkan dasar kerajaan dan mengukuh kerjasama antara parti.

Setiausaha Agung PN Dato’ Seri Hamzah Zainuddin dilapor berkata, majlis berkenaan akan dianggotai semua ketua parti kerajaan PN.

Ustaz Hashim juga menyambut cadangan ahli akademik supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri diberi kepada wakil Umno memandangkan parti itu mempunyai ahli parlimen paling ramai. – HARAKAHDAILY 3/12/2020

Laporan lanjut Harakah edisi cetak.

- Advertisement -