KKM terima RM1 bilion bendung Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima peruntukan sebanyak RM1 bilion daripada Kementerian Kewangan bagi menangani wabak Covid-19.

Timbalan Menteri II, Dato’ Aaron Ago Dagang berkata, KKM telah membelanjakan sebanyak RM1.17 bilion.

- Advertisement -

Ia temasuk peruntukan sedia ada bagi pembelian peralatan, bekalan perubatan, barangan pakai habis, kelengkapan perlindungan diri (PPE), reagen dan kit ujian (test kit) serta lain-lain perkhidmatan dalam usaha mengawal wabak Covid-19 sehingga 31 Oktober tahun ini.

Katanya, peruntukan itu digunakan untuk kesemua fasiliti KKM termasuk hospital, klinik kesihatan dan pergigian.

“Sebahagian besar daripada perbelanjaan ini adalah melibatkan bayaran Elaun Khas Covid-19 kepada petugas barisan hadapan KKM berjumlah RM275 juta.

“Pembelian kelengkapan perlindungan diri (PPE) berjumlah RM262 juta serta pembelian reagen dan kit saringan serta bayaran sumber luar perkhidmatan makmal swasta untuk ujian saringan Covid-19 berjumlah RM210 juta.

“Jumlah ini tidak termasuk bayaran emolumen petugas kesihatan yang terlibat dalam rawatan, kawalan dan pencegahan wabak Covid-19 yang mana telah diperuntukkan di bawah peruntukan sedia ada KKM,” katanya dalam sesi soal lisan di Dewan rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) berhubung jumlah perbelanjaan kementerian dalam menangani pandemik Covid-19 daripada 18 Mac sehingga 31 Oktober 2020.

Terdahulu sejumlah RM475 juta diperuntukkan untuk pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis bagi kegunaan KKM.

Manakala RM318 juta digunakan untuk penyediaan peralatan PPE dan ‘hand sanitiser kepada petugas barisan hadapan KKM.

RM150 juta diberikan kepada Agensi Pengurusan Bencana bagi memerangi Covid-19, RM50 juta untuk perolehan peralatan, bekalan ujian makmal, dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti.

Ia termasuk peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya dan penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer.

Petugas Kesihatan turut diberikan bantuan khas one-off RM500 yang dimanfaatkan 100,000 kakitangan. – HARAKAHDAILY 3/12/2020

- Advertisement -