TV Wanita Sejahtera inisiatif terkini Muslimat PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Penerangan dan Media Baharu Muslimat PAS Malaysia mengorak langkah besar dalam membekalkan informasi kepada masyarakat dengan memanfaatkan teknologi terkini memperkenalkan ‘TV Wanita Sejahtera’.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia, Dr Najihatussalehah Ahmad memimpin pembaharuan ini dengan menjadikan wadah baharu itu sebagai saluran alternatif di media sosial bagi rakyat Malaysia mengikuti rancangan khas untuk wanita.

Menerusi wadah ini, para pimpinan mahupun ikon Muslimat akan dapat melontarkan suara vokal mewakili wanita dalam membicarakan pelbagai topik yang terpimpin dengan biah solehah dan bersifat Islami ke arah mendukung cita-cita ‘Malaysia Sejahtera’.

Pelbagai rancangan bakal menemui warga maya yang antara paling eksklusif adalah Wacana Wanita Sejahtera (WWS), selain Kapsul AKIFI di mana akan membawakan sepuluh segmen pelbagai dalam mendidik dan memaklumatkan masyarakat.

Bersama tampilan tokoh pimpinan atau ikon wanita setiap minggu menerusi saluran ini, para penonton boleh mengisi wahana minat dengan Kapsul Zikir, Santai, Skuad Prihatin, Antarabangsa, Antara Kaum, Tips, Art Of Politics, Info Rakyat dan Iklan.

Menerusi TV Wanita Sejahtera juga, penonton dapat mengikuti liputan pelbagai aktiviti dan perkembangan masyarakat terutama melibatkan kaum wanita di seluruh pelusuk negara yang akan dibawakan secara eksklusif dari lapangan.

Kewujudan media ini selain mengembangkan informasi kepada masyarakat, Muslimat PAS juga berhasrat menjadikannya medium mendekati orang ramai, sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat dihujung jari dan langit terbuka masa kini.

Ketika sama, saluran alternatif patuh syariah ini juga akan sentiasa mengembangkan kepada penonton kepentingan serta kefahaman budaya politik matang dan sejahtera secara interaksi mencakupi segala hal ehwal rakyat yang semasa.

Dr Najihatussalehah yang juga Ketua Muslimat PAS Negeri Perak menzahirkan harapannya agar TV Wanita Sejahtera berupaya untuk menjadi medium penyampaian dakwah kepada masyarakat umum dan tidak berfokus kepada Muslimat PAS sahaja.

“Sebagai Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia, saya menyeru seluruh Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan dan Media Baharu menggunakan sebaik mungkin medium ini untuk meneruskan kerja-kerja penerangan, dakwah dan juga pendidikan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/12/2020

- Advertisement -