‘Power’ seorang insan bergelar ibu

- Advertisement -

SEORANG wanita yang bergelar ibu, adalah satu anugerah mulia dari Allah. Ini dapat dibuktikan dengan banyaknya ayat-ayat Quran dan Hadis Nabi S.A.W menceritakan mengenai kemuliaan seorang ibu. Ibu-ibu yang hebat inilah yang akan melahirkan dan mendidik generasi masa depan yang bertakwa dan memperjuangkan kebenaran. Para ibu mestilah mempersediakan dirinya dengan ilmu. 

Peranan wanita sebagai seorang ibu tidak pernah terhenti, Islam benar-benar meletakkan wanita di tingkatan yang tinggi sekali, dialah penyumbang kepada kebijaksanaan dalam masyarakat.

Contoh, pemimpin-pemimpin di dalam masyarakat hasil didikan siapa? Ya, oleh seorang perempuan yang duduk di rumah, melahirkan, mendidik dan membesarkannya. Islam menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu dengan pahala agung dari Allah S.W.T, selama dia tulus ikhlas mengasuh dan mendidik putera puterinya demi menggapai redha Allah.

- Advertisement -

Para wanita adalah sebagai pendamping suaminya dan anak-anaknya, yang saling menguatkan kesempurnaan kehidupan seorang lelaki. Kalau ada lelaki yang merasa dirinya hebat, tanpa ingat jasa seorang ibu yang membesarkannya, itu lelaki tidak pandai mengenang budi. Ketika janin, di perut siapa engkau hidup? Di perut seorang ibu! Ketika engkau lahir ke dunia ini, siapa yang melahirkan dirimu? Seorang ibu! Ketika engkau menangis walaupun kalian ketika itu di atas dukungan ayahmu, siapa yang kalian nampak sehingga menyebabkan kalian menangis? Ibu kalian bukan?! 

Jadi peranan wanita sangat dahsyat, didakapannya, lelaki yang menjadi pemimpin di dalam masyarakat sekarang, pernah satu masa dulu, ketika kecilnya merasai kehangatan dakapan ibunya, disusukan, dimandikan, dipakaikan, ditidurkan dan ketika sudah besar, wanita itu tetap menjaganya. Bagaimana seorang lelaki yang dididik dan yang dibesarkan ini, akan dapat melupakan jasa ibunya? Yang dengan pengorbanan susuk tubuh itulah yang telah membolehkannya menjalani kejayaan dalam kehidupannya hari ini. Nabi S.A.W ada mengatakan:

“Seorang isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggungjawab atas kepimpinannya.”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari no 3532)

Ibu adalah pemimpin di rumah suaminya, dan ayah adalah ketua keluarga dalam rumahnya. Kalau ibu tidak memainkan peranannya sebagai pendidik anak-anak, akan hancur sebuah negara. Mereka membesarkan, mendidik, membimbing, membentuk generasi masa depan yang sekarang sebahagiannya masih di dalam perut para ibu. Tidak mungkin di perut ayah. Jadi peranan ini tidak boleh diambil kecuali oleh wanita.

Jadi kejayaan seorang ibu, walaupun dia tidak dikenali tapi powernya dapat dirasai sehingga ke akhir zaman. Contohnya peranan ibu Imam As Syafie, ibu hebat ini bernama Fatimah binti Ubaidillah. Ada yang menyebut beliau adalah Ahlul Bait iaitu keturunan Rasulullah S.A.W dari jalur Ubaidillah bin Hassan bin Hussein bin Ali bin Abi Thalib. Beliau seorang wanita bijak dan merupakan madrasah pertama Imam Syafie. Ketika suaminya meninggal, Imam Syafie masih kecil, tiada harta yang diwarisi kepadanya namun beliau tetap berjuang memberikan pendidikan yang terbaik untuk anaknya. Di usia 7 tahun, Imam Syafie telah mempelajari al-Quran dan menghafalnya di Makkah setelah beliau membawa anaknya hijrah dari Gaza. Dihantar belajar Bahasa Arab fushah (asli atau standard), belajar menunggang kuda dan memanah. Kemiskinan tidak menjejaskannya menuntut ilmu, walaupun menulis di atas tulang. Kebijaksanaannya melayakkannya berfatwa ketika beliau berusia 15 tahun di bawah pengawasan gurunya Imam Malik. 

Kekuatan seorang ibu, sangat dahsyat! Mampu membentuk seorang insan hebat! Walaupun tanpa seorang suami di sisi. 

Kebiasaannya, kalau seorang ayah ditinggal mati oleh isterinya, dia tidak mampu berbuat demikian dan segera bernikah, kalau tidak, anak-anaknya akan diserahkan penjagaannya kepada ibunya. 

Syariat Islam menghormati wanita sebagai seorang ibu dengan penghormatan yang tinggi dan mulia. Rasulullah S.A.W mengingatkan umatnya, bahawa kewujudan seorang ibu boleh menjadi penentu syurga dan neraka putera-puterinya. Seorang anak yang memuliakan ibunya, akan dapat mengecapi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sebaliknya, anak yang bersikap buruk terhadap ibunya, dia akan hidup celaka (sengsara) di dunia dan akhirat.

Rasulullah S.A.W memberitahu umatnya bahawa seorang ibu adalah tempat pelaburan di akhirat bagi putera-puterinya. Ada banyak pahala dari Allah untuk anak-anak yang berbuat kebaikan dan ketaatan kepada kedua ibu-bapanya, serta bersikap mulia dan menghormati mereka. Sabda Rasulullah S.A.W:

“Sungguh rugi, sungguh rugi dan sungguh rugi, orang yang mempunyai kedua ibu bapanya yang sudah lanjut usia, salah seorang atau keduanya, tetapi tidak menyebabkannya masuk syurga.”

(Riwayat Imam Muslim no 2551)

Seandainya, ibunya seorang suri rumah, ayahnya berpangkat besar. Apakah sikap anak-anak terhadap ibu dan ayahnya? Tahukah anda siapa yang disebutkan pertama kali oleh Rasulullah S.A.W dalam menghormati orang tuanya? Ya! Orang pertama yang disebut oleh Rasulullah S.A.W adalah ibu. Bahkan, Rasulullah S.A.W mengatakannya sampai tiga kali. Baru kemudian, Rasulullah S.A.W menyebutkan ayah, itu pun satu kali:

“Sebagaimana disebutkan dari Abu Hurairah. Dia berkata, “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah S.A.W dan bertanya, “Ya Rasulullah S.A.W, siapakah orang yang saya lebih berhak menghormati? Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Orang itu bertanya lagi, “Lalu siapa?” Rasulullah menjawab, “Ibumu” orang itu bertanya lagi, “Setelah itu siapa?” Rasulullah menjawab, “Ibumu” orang itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Akhirnya Rasulullah pun menjawab, “Kemudian ayahmu.””

 (Hadis Riwayat Muslim)

Anak-anak berada 9 bulan di dalam perut ibu mereka, dilahirkan dan disusukan selama 2 tahun. Jadi ada kekuatan luar biasa yang ada di diri ibunya, yang dia harus membalasnya. 

Maka dari sini, ibu yang macam mana sepatutnya dipilih menjadi tonggak dalam keluarga. Ini sangat penting sekali. Peranan seorang ibu, bukan kerja yang main-main malah tidak boleh diambil alih oleh pembantu, tidak boleh diambil alih oleh babysitter (pengasuh anak kecil). Kalau ibunya seorang yang solehah, yang beragama, begitu juga ayahnya. Insya-Allah akan terbina sebuah keluarga dan rumah tangga Muslim yang bertakwa dan mendapat sakinah, mawadah dan rahmah dari Allah S.W.T.

Ibu adalah sekolah atau madrasah yang pertama anak-anak. Sejak di perut ibu lagi, anak itu sudah disekolahkan. Setelah dilahirkan, ibunyalah yang menerima dia sebagai murid pertamanya. Diletakkan di dakapannya dengan kasih sayang, disusukan sambil dibacakan ayat-ayat Allah dan sang anak akan mendengarkannya sambil memejamkan matanya. Itulah power seorang ibu! Detakan dari jantung ibu akan menjadikan anak rasa aman dan tenteram dalam dakapannya. Bacaan Quran dan zikir-zikir yang dibacakan ketika menyusukan dan menidurkan anaknya, Subhanallah! Ini akan menjauhkan putera-puterinya daripada godaan syaitan. Itulah ibu! Jangan salah memilih ibu untuk buah hatimu, wahai para suami!

Nabi telah berpesan kepada kaum lelaki, ketika memilih pasangan:

“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya keturunannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu bahagia.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Tetapi ramai yang lupa untuk memilih yang beragama (Baik akhlaknya). Yakinlah dengan memilih wanita yang beragama, akan banyak menyelesaikan permasalahan dalam rumah tangga dan pembentukkan generasi masa depan yang bertakwa dan berjuang di jalan kebenaran:

“Dan Nabi S.A.W menambah lagi dengan sabdanya yang lain, dari Anas bin Malik, “Jika seorang hamba Allah itu bernikah (kahwin), maka telah sempurnalah setengah (separuh) agamanya. Maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah pada setengah yang lain”.”

(Riwayat al Hakim dan at Thabrani)

Pikat pesona wanita jahat, 

Hamnah seorang wanita terkenal kecantikan dan kebijaksanaannya (pemegang kuat faham Khawarij), sepupunya Imran Hiththan (dia termasuk di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang sempat berguru dengan Sahabat Rasulullah seperti Abu Musa al-Asy’ari, ‘Asyah, Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan beberapa Sahabat yang lain), Imran bin Hiththan, bernikah dengan Hamnah (dia mempunyai fikiran yang sesat, mengkafirkan para Sahabat seperti Othman dan Ali), dengan harapan untuk membawanya kembali ke jalan yang benar. 

Apakah niat yang baik sahaja sudah dianggap cukup? Belum! Saudaraku! Ini masalah hati! Ini masalah mempengaruhi atau dipengaruhi. Jadi kalau tiada jaminan yang kita tidak boleh dipengaruhi, jangan sesekali berani bermain dengan api! Pelbagai nasihat telah diberikan, Imran nikah juga. Akhirnya Imran dipengaruhi oleh isterinya dan terjebak, dan menjadi pemimpin besar gerakan sesat. Alangkah lemahnya hati ini! Jangan bermudah-mudahan dalam memilih pasangan hidup! Imran mengharapkan sepupunya akan mendapat hidayah, ternyata wanita ini yang menyesatkannya, bagaimana anak-anaknya? Inilah kekuatan seorang wanita, seorang lelaki yang soleh dan berilmu, akhirnya dapat dipengaruhi dan disesatkannya. Itulah power seorang wanita!

Dalam soal ini, Allah memberikan kelebihan kepada wanita, dia punya power bagaimana menundukkan lelaki, maka Islam benar-benar menitik beratkan urusan memilih seorang isteri: 

“Rasulullah pernah menyampaikan kepada Sahabatnya mengenai harta yang paling mulia buat seorang lelaki yang sedang memburu dunia, “Harta yang paling mulia adalah lisan yang selalu berzikir, hati yang pandai bersyukur, isteri yang beriman, yang selalu membantu suaminya menjaga imannya”.” 

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Inilah kekuatan wanita yang boleh menjadikan suaminya beriman, dia juga boleh membuatkan suaminya menjadi jahat. 

Cubalah lihat peranan Khadijah membantu perjuangan Nabi S.A.W. Ketika Nabi turun dari Gua Hira’ dalam keadaan ketakutan, siapa yang menenangkan Rasulullah S.A.W? Siapakah yang memberi solusi dalam masalah yang dihadapi oleh Nabi S.A.W? Khadijah. Nabi S.A.W diberi motivasi, diberi semangat, dibawa kepada sepupunya Waraqah bin Naufal. Setelah Nabi S.A.W tenang, Khadijahlah orang yang pertama beriman kepada Nabi S.A.W. Meninggalnya Khadijah tidak terganti. Satu kesedihan yang mendalam menimpa Nabi S.A.W. Baginda menikah dengan sembilan wanita, tetapi peranan Khadijah tidak terganti di hati Baginda. Seorang wanita yang sentiasa diingat oleh Nabi S.A.W. Di ketika orang-orang Musyrikin mendustakan Nabi S.A.W, Khadijah percaya kepada Nabi S.A.W, ketika orang meninggalkan Nabi S.A.W, Khadijah yang mendampingi Nabi S.A.W. Harta, jiwa dan apa sahaja yang dimilikinya dikorbankan untuk perjuangan Rasulullah S.A.W. Kekuatan seorang wanita dahsyat sekali, kekuatan seorang isteri jangan ditanya.

Allah S.W.T telah berpesan dalam surah Luqman ayat 14:

Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.”

Seorang ibu mengandungkan putera-puterinya, dalam keadaan lemah. Melahirkan, menyusukan anak (bagi yang bekerja, memerah susunya untuk bekalan anak yang ditinggalkan). Di samping itu, masih ramai yang bekerja mencari rezeki (membantu pendapatan keluarga). Begitulah rutin yang dijalani di dalam kehidupannya. Wanita memang hebat! Sebagai seorang isteri dan ibu. Dia memang layak dihargai dan dihormati.

Sepatutnya seorang isteri tinggal di rumah menguruskan anak-anaknya. Islam tahu keletihan seorang ibu mendukung dan mengurus anak-anaknya. Islam tahu rasa sakit dan payah seorang ibu ketika hamil dan melahirkannya. Allah memberi pengiktirafan khusus kepada wanita seperti ayat di atassurah Luqman ayat 14.

Kemudian, cuba lihat peranan seorang ibu dan ayah dalam pendidikan terhadap anak-anaknya:

“Sabda Nabi S.A.W menceritakan setiap yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah, “Setiapa anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah Suci bersih), kedua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi”.”

(Riwayat Bukhari no 1385)

Kalau ada orang tuamu memaksa melakukan kesyirikan, jangan taat tetapi tetap berbuat baik kepada mereka, jasa mereka jangan dilupakan. Inilah yang perlu dipelajari, bagi seorang anak. Walau siapa pun orang tuamu, tetap berbakti atau berbuat baik kepada mereka di sepanjang usia mereka.

Allah telah mewasiatkan kepada para ibu agar mereka menjadi pencetak generasi masa depan. Para ibu mesti belajar untuk menjadi ibu dan guru yang mengajar segala kebaikan kepada anak-anaknya. Mengajar cara makan, cara bertutur kata, cara berjalan, mengajar erti sabar, ajarkan keimanan, ajarkan berwudhuk dan solat (dilihat, jangan ditinggalkan sendirian), ajarkan bersuci, ajarkan al-Quran, ajarkan adil dan memberikan nama yang baik. Ibu mempunyai peranan besar dalam soal ini, ibu dan ayah mesti menjadi qudwah, bukan cukup dengan berkata-kata sahaja.

Kesimpulan

Islam memandang bahawa wanita adalah kurniaan Allah. Power seorang ibu, mampu menggegar dunia dengan kejayaan mendidik anak-anaknya dan juga mampu menghancurkan dunia kerana kesilapan mendidik anak-anaknya. Ini semua bermula dari pemilihan seorang isteri, untuk menjadi ibu dan guru kepada anak-anaknya. Seorang ibu, darinya akan muncul energi positif yang berupa rasa cinta, kasih sayang, kesabaran dan motivasi hidup. Suami dan isteri adalah satu kombinasi hebat dalam membina rumah tangga, kedua-duanya saling mencintai, memahami dan menghormati dalam membina generasi masa depan, yang bertakwa dan berjuang di jalan kebenaran.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 2/12/2020

- Advertisement -