Adun rayu KASA tangani tapak pelupusan toksik

- Advertisement -

TANGGA BATU: ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan merayu agar Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dapat masuk campur bagi mempercepatkan usaha membersihkan tapak haram sisa toksik di satu tanah lapang di Kampung Pengkalan Perigi, Tanjung Kling.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily semasa turun meninjau kawasan tapak tersebut, di sini semalam.

- Advertisement -

Menurut Nor Azman sekitar 10 Oktober lepas dia bersama-sama dengan beberapa agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Bomba, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah membuat serbuan ke tapak pelupusan haram bahan-bahan sisa toksik tersebut.

“Agensi yang terlibat dalam serbuan itu telah mengambil sampel bahan-bahan tersebut dan kata mereka sampel itu akan dibawa untuk diuji di makmal Jabatan Kimia.

“Tapi penduduk semakin resah sebab dah lebih kurang dua bulan (sejak tarikh serbuan) tak ada perkembangan apa-apa. Biar macam ni lama. Lepas tu bila hujan, minyak banyak mengalir dari tapak tu.

“Kita tanya JAS, JAS kata keputusan makmal daripada Jabatan Kimia belum keluar. Jadi belum boleh buat apa-apa pada sisa tu sekarang.

“Sekarang kita tak tahu apa lagi impaknya. Penduduk masih mengadu bau busuk dari tapak pelupusan haram itu. Kita takut sesuatu yang buruk mungkin berlaku. Kita takut kesihatan penduduk sekitar terjejas,” ujar Nor Azman.

Wajah terkini tapak haram sisa toksik selepas operasi serbuan pihak berkuasa dua bulan lalu.

Menurutnya lagi, isu ini juga pernah diulas oleh Menteri KASA di dalam Facebook rasmi menteri tersebut semasa berlakunya serbuan ke atas tapak pelupusan haram itu.

“Kita juga harap pihak berkuasa terutama Jabatan Kimia dapat segerakan keluarkan keputusan siasatan sampel tu dan cepat-cepatlah bersihkan sisa toksik tu,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Perigi, Nazar Derus, 49, berharap agar tindakan segera untuk mengatasi masalah ini dapat dilakukan pihak berwajib.

“Kita nampak macam perlahan sangat tindakan ni. Kita pun tak faham kenapa jadi macam ni. Macam ada yang tak kena.

“Tapi kita orang-orang kampung akan sentiasa guna saluran yang betul untuk menyuarakan kebimbangan kami ini. Kami akan terus mendesak sehingga kepada pihak yang lebih tinggi jika nampak perlahan sangat tindakan pihak berkuasa,” kata Nazar.

Seorang lagi penduduk, Md Daud Mihad, 67, berkata beliau faham bahawa pihak berkuasa memerlukan masa untuk menyiasat perkara ini namun membiarkan bahan-bahan itu lebih lama di lokasi yang ada sekarang bakal mengundang bencana.

“Takkan nak tunggu sampai dah jadi macam yang dah berlaku seperti di Pasir Gudang dulu, sampai dah ada yang sesak nafas, yang pengsan, baru nak alihkan sisa-sisa toksik tu?

“Kenapa lama sangat ambil masa untuk keluarkan laporan kimia? Berapa lama lagi nak tunggu?” ujar beliau dengan nada marah.

Untuk rekod pada 10 Oktober lepas Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar, ketika mengulas tentang serbuan itu berkata hasil siasatan, pihaknya menemui lebih 900 tong dram, enam tangki ‘intermediate bulk containers‘, tujuh tong tercemar dan lima tangki disyaki mengandungi enap cemar minyak.

Tinjauan Harakahdaily mendapati tong-tong yang mengandungi sisa toksik tersebut masih belum dialihkan dari tapak tersebut. – HARAKAHDAILY 2/12/2020

- Advertisement -