Muslimat berdakwah menerusi pertandingan lagu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Kesenian dan Kebudayaan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan telah menganjurkan Pertandingan Lagu Dakwah Inspirasi Irama Retro secara atas talian yang berakhir 15 November lalu.

- Advertisement -

Pertandingan bertujuan menarik mad’u kepada proses penyampaian tazkirah ini dilaksanakan dengan pendekatan seni hiburan dari kelebihan diri yang diterjemahkan dengan penciptaan lirik bersendi syariat.

Selain memupuk nilai seni menerusi lirik yang berunsur dakwah, perjuangan, kemanusiaan, ketuhanan mahupun nasihat itu untuk mendekatkan diri kepada Allah, ia disesuaikan dengan tempo irama lagu telah ditetapkan.

Seramai 22 peserta mengambil bahagian di mana diumumkan Johan dimenangi Nurul Syuhadah Zulkefli dan Naib Johan, Miza Izzati Rosli manakala ketiga milik Nur Saadah Rozali, masing-masing menerima RM300, RM250 dan RM200.

Pemenang tempat keempat dan kelima menerima RM150 dan RM100, sementara empat lagi pemenang saguhati masing-masing menerima RM50 sebagaimana diumumkan pihak penganjur, hari ini.

Ahli Jawatankuasa Lajnah Kesenian dan Kebudayaan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Nadrah Azmi berkata, konsep ini diharap mampu menarik minat anak-anak muda untuk bergiat dengan seni Islam secara tidak langsung.

“Ini pastinya membuahkan rasa cinta yang mendalam terhadap Al-Khaliq dan mengamalkan lagi konsep taqarrub dalam diri umat Islam terutamanya anak-anak muda yang boleh diketengahkan, selain mencungkil dan menggilap bakat yang terpendam dalam bidang seni nyanyian.

“Julung kali kita berpeluang membuka ruang kepada muslimat untuk mengasah bakat dan kreativiti masing-masing. Namun dengan berhasil program ini diharapkan proses melahirkan pencinta seni dapat diketengahkan dan setidak-tidaknya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Mewakili pihak penganjur, beliau juga memaklumkan hasrat untuk semua lirik dibukukan bagi pertandingan yang dijurikan oleh Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Usahawanita, Siti Fatimah Hidayah Ismail itu. – HARAKAHDAILY 1/12/2020

- Advertisement -