JaGUH dilancar bantu graduan peringkat awal

KUALA LUMPUR: Program Jana Graduan Hijau (JaGUH) bagi memberi peluang kepada graduan yang baru tamat pelajaran menceburi bidang keusahawanan kelestarian hijau akan dilancarkan Januari tahun hadapan.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata program itu kini dalam proses pembangunan modul, pencarian rakan strategik dan permohonan dana kerajaan dan swasta sebelum dipromosi secara aktif awal tahun 2021.

“Kumpulan pertama program ini melibatkan tiga aliran iaitu JaGUH Pengurusan Tenaga, JaGUH Produk Hijau dan JaGUH Pertanian Bandar, buat permulaan 100 graduan akan terlibat dalam program ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Advertisement

Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang ingin tahu perkembangan dan mekanisme program JaGUH dan universiti yang terlibat dengan program berkenaan.

Tuan Ibrahim berkata buat permulaan, program itu menyasarkan graduan yang telah enam bulan tamat belajar tetapi masih menganggur dan graduan yang bekerja tetapi tidak sesuai dengan kelulusan mereka.
 
Katanya, program itu kini dalam fasa mengenal pasti universiti sesuai yang terlibat dan setakat ini perbincangan dengan Universiti Sains Malaysia (USM) telah dijalankan tetapi perlu ditangguh kerana penularan COVID-19.

Program JaGUH adalah program yang dilaksanakan oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC), agensi di bawah KASA. 

Objektif utama program ini dibangunkan adalah untuk membantu graduan muda lebih berdikari dalam menjana pendapatan sara diri melalui kaedah keusahawanan dalam bidang-bidang kemahiran industri hijau selaras dengan usaha kerajaan untuk memperluaskan pembangunan Ekonomi Hijau di negara ini.

Tuan Ibrahim berkata antara bidang kemahiran yang telah dikenal pasti ialah perkhidmatan audit tenaga, perundingan pengurusan tenaga dan gaya hidup hijau, perkhidmatan kitar semula dan pelbagai bidang lain yang sedang dikenal pasti. 

Senarai bidang kemahiran itu akan diperluas mengikut kesesuaian permintaan pasaran serta menepati sasaran Pelan Induk Teknologi Hijau. – BERNAMA