Ameerah Batu santuni miskin bandar

- Advertisement -

BATU: Program ‘Sekampit Beras’ siri kelima Ameerah Care Kawasan Batu diteruskan bagi membantu golongan miskin bandar serta mereka yang terkesan ekoran pendemik Covid-19.

- Advertisement -

Sumbangan diagihkan kepada penduduk sekitar Batu Muda, Dato’ Senu, Flat Sri Perak, Sentul dan Kampung Padang Balang.

Agihan sumbangan yang disalurkan termasuk barangan keperluan dapur bagi meringankan serba-sedikit perbelanjaan harian mereka.

Turut serta dalam edaran sumbangan kali ini adalah Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu, Salbiah Abd Wahab; Ketua Pengarah Ameerah Wilayah Persekutuan, ‘Atikah Abd Rahman dan Ketua Ameerah Care Kawasan Batu, Fatimah Farhanah M Safien.

Menurut ‘Atikah, Program Sekampit Beras ini merupakan usaha kebajikan khusus untuk wanita muda di sekitar kawasan Batu yang dijalankan pada setiap bulan bermula Julai tahun ini.

“Setiap bulan Ameerah menerima nama-nama penerima baru yang perlu dibantu daripada komuniti penduduk setempat dan telah dikenal pasti untuk dibantu.

“Kondisi semasa penerima sentiasa dikemaskini pada setiap bulan agar bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” ujar beliau.

Kata ‘Atikah, dalam kalangan penerima, masih ada yang tidak mempunyai pekerjaan setelah diberhentikan akibat Covid-19.

Dalam program sama, sumbangan turut diagihkan kepada ibu-ibu tunggal yang gigih mencukupkan keperluan anak-anak seorang diri dengan pendapatan kurang RM 1,500 sebulan, tambah beliau.

Katanya lagi, sumbangan orang ramai begitu bernilai buat mereka yang memerlukan.

Justeru itu, sumbangan berupa wang tunai ataupun barangan keperluan boleh disalurkan melalui jawatankuasa Ameerah Care Kawasan Batu, Atikah Abu Bakar di talian +6011-2655 8637. – HARAKAHDAILY 28/11/2020

- Advertisement -