Kerajaan Arab: Antara Ikhwan atau Israel

- Advertisement -

KETIKA masyarakat dunia khususnya penduduk Arab Saudi sedang mengalami masalah ekonomi dan psikologi akibat COVID-19, Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi mengambil pendekatan sebaliknya dalam isi khutbah mereka. Mereka memilih untuk mengutarakan perihal bahaya gerakan Islam yang dikenali sebagai Ikhwanul Muslimin.

Kenyataan Majlis Ulamak Saudi

13 November lalu, seluruh masjid di Arab Saudi diminta oleh Kementerian Hal Ehwal Islam untuk berkhutbah memfokuskan perihal Ikhwanul Muslimin (IM). Mereka diminta untuk memperingatkan umat Islam agar tidak terlibat dengan IM yang didakwa sebagai gerakan pengganas. 

Sehari sebelum itu, iaitu 12 November, Menteri Hal Ehwal Islam melalui akaun Twitternya meminta para khatib untuk memanjangkan keputusan daripada Majlis Ulamak Saudi (The Council of Senior Scholars) berkenaan IM. Menurut ketetapan bertarikh 11 November itu, IM adalah kumpulan yang menyeleweng, mengajak kepada menentang pemerintah, menyebarkan fitnah terhadap negara dan menyifatkan orang awam sebagai jahiliah. Kesimpulan daripada semua itu, mereka menyifatkan IM sebagai kumpulan pengganas dan meminta semua untuk menjauhi dan tidak terlibat dengannya.

- Advertisement -

Pendirian Kerajaan Arab Saudi

Keputusan ini selari dengan pendirian Kerajaan Arab Saudi yang konsisten. Sejak Kerajaan Arab Saudi ketiga diasaskan pada tahun 1932, mereka sentiasa bersikap dingin dengan gerakan terbabit. Hanya pada tempoh pemerintahan Raja Faisal (1964-1975) atau lebih tepatnya selepas Anwar Sadat menjadi Presiden Mesir (1970), IM diberi ruang di Arab Saudi untuk bertapak.

Sepanjang tempoh yang lain, autoriti agama seperti mufti, Kementerian Agama dan Majlis Ulamak Saudi sentiasa mengeluarkan pendirian negatif terhadap IM.

Pada tahun 2014, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menyenaraikan IM sebagai organisasi pengganas bersama militan al-Qaeda, IS dan lain-lain. Pada tahun 2018, Putera Mahkota Arab Saudi, Muhammad bin Salman dalam wawancara televisyen bersama stesen CB Amerika Syarikat menyifatkan IM sebagai organisasi yang merekrut pengganas. Beliau turut berjanji akan menghapuskan anasir-anasir IM di setiap institusi pendidikan di Saudi.

Keberadaan Ikhwanul Muslimin dan respons Mesir

Pendirian Arab Saudi bukanlah yang pertama di kalangan pemerintah Arab. Oleh kerana gerakan ini diasaskan di Mesir tahun 1928, ia telah menerima reaksi daripada kerajaan negara itu sejak sekian lama. IM pernah diharamkan di Mesir 1948 atas tuduhan yang sama. Walau bagaimanapun, pengaruh IM terus berkembang sehingga menjadi gerakan Islam paling berpengaruh di seluruh dunia. Antara gerakan Islam yang terinspirasi dengan IM adalah HAMAS di Palestin.

Mengapakah Kerajaan Arab sangat anti kepada IM? Ianya bertitik tolak daripada orientasi perjuangan IM itu sendiri. Mereka berjuang untuk mengembalikan Syariat Islam dan membersihkan Dunia Islam daripada anasir penjajahan bermula daripada diri individu Muslim, hinggalah kepada kerajaan.

Menurut IM, peringkat-peringkat amal Islami dibahagikan kepada tujuh:

(1) Melahirkan individu Muslim yang taat kepada Allah.

(2) Membina keluarga Muslim berteraskan ajaran Islam.

(3) Membentuk komuniti Muslim yang mengamalkan cara hidup Islam.

(4) Membebaskan Negara Islam daripada penjajah.

(5) Mendirikan Kerajaan Islam yang mengamalkan sistem pemerintahan Islam.

(6) Membentuk rangkaian pemerintahan Islam sejagat (Khilafah Islamiah).

(7) Menyebarkan Islam ke seluruh pelosok dunia.

Pemerintah Arab melihat ideologi IM ini bakal menggugat keabsahan pemerintahan mereka yang kebanyakannya memperoleh kekuasaan hasil kurniaan penjajah pasca Perjanjian Sykes-Picot 1916. IM dilihat sebagai gerakan yang anti-monarki. Ia perlu disekat kerana Mesir dan kebanyakan Negara Arab mengamalkan sistem monarki. Ironinya, setelah Monarki Mesir digulingkan oleh tentera pada tahun 1952, Jamal Abdul Nasser yang menjadi Presiden kedua Mesir turut memusuhi IM.

Walaupun di zaman Anwar Sadat dan Hosni Mubarak diberikan kebebasan untuk IM terlibat di dalam politik, namun tekanan oleh pihak pemerintah terhadap anggota dan organisasinya terus berlangsung. IM terus popular di kalangan rakyat. Walaupun IM diharamkan sebagai sebuah parti politik, namun secara teknikalnya ia menjadi parti pembangkang paling berpengaruh bermula pada tahun 2005. Bilangan anggotanya di Parlimen yang bertanding atas pelbagai tiket sangat ramai.

IM menuntut supaya proses demokrasi berjalan secara adil dan hak asasi rakyat diberikan. Perkara inilah yang dibimbangi oleh rejim Arab. Tambahan pula, Arab Saudi masih mengamalkan sistem monarki. Perjuangan IM dilihat sangat mengancam kelangsungan pemerintahan Arab Saudi. Kemenangan tokoh IM, Muhammad Morsi sebagai Presiden Mesir dalam PRU 2012 yang disifatkan sebagai PRU paling demokratik dalam sejarah Mesir menambah kebimbangan Arab Saudi.

Wajah buruk Ikhwanul Muslimin di mata Ulul Amri Arab

Bahkan realitinya, IM telah diharamkan oleh banyak lagi rejim Arab. Pada tahun 1980, Syria telah mengharamkan IM dan menghukum mati anggotanya. Menurut dokumen yang didedahkan oleh Wikileaks, Putera Mahkota UAE memberitahu dalam satu wawancara di US bahawa negara mereka telah memerangi pemikiran IM sejak tahun 2000 lagi. 2014, UAE dan juga Bahrain menyambut baik kerja Saudi menyenaraikan IM sebagai pengganas.

Begitu juga dengan autoriti agama negara-negara Arab, kebanyakannya cenderung kepada pandangan pemerintah masing-masing. Bagi menyokong pendirian UAE 2014, negara terbabit telah menubuhkan Majlis Hukamak Muslimin dan melantik Syeikhul Azhar Dr Ahmad Tayyib sebagai Pengerusi. Tahun 2019, Universiti al-Azhar Mesir mengeluarkan kenyataan bahawa IM selari dengan fahaman IS dan kebanyakan kumpulan pengganas. Bahkan Mufti Mesir sendiri menyambut baik kenyataan daripada Majlis Ulamak Saudi. Pendirian yang sama turut disambut oleh Majlis Fatwa UAE.

Berkongsi pandangan dengan Amerika Syarikat

Apa yang mengejutkan, pendirian autoriti Arab ini selari dengan pendirian Barat, terutamanya Amerika Syarikat. Pada tahun 1969, orientalis bernama Richard P. Mitchell di dalam bukunya The Society of Muslim Brothers menuduh IM sebagai gerakan yang menyeru kepada keganasan atas nama jihad. Beliau merujuk kepada pandangan-pandangan tokoh IM seperti Imam Hasan al-Banna, Syed Qutb dan Fathi Yakan.

Karya Mitchell dijadikan asas untuk memusuhi IM dan gerakan Islam lain yang berkait dengannya. Pada tahun 1995, Presiden US telah menyenaraikan HAMAS sebagai gerakan pengganas. 2001, Presiden US juga menyenaraikan Lajnah Dakwah Islamiah Kuwait sebagai gerakan pengganas. Tahun yang sama, US menyenaraikan parti Islah Yaman sebagai gerakan pengganas. Kesemua gerakan yang disebutkan ini adalah penerus kesinambungan perjuangan IM di pelbagai negara.

US terus menyusun agenda mengharamkan IM. 2015, satu bil bertajuk Muslim Brotherhood Terrorist Designation Act(Akta Pelabelan Ikhwanil Muslimin Sebagai Pengganas) telah telah dibentangkan di kongres US. Apabila Donald Trump menjadi Presiden, beliau telah menganjurkan Riyadh Summit 2017, mengumpulkan negara-negara Islam. Arab Saudi dan UAE menyokong pendirian US terhadap IM sebagai pelampau dan pengganas.

Menjaga kepentingan Israel

Dasar-dasar US banyak dipengaruhi oleh pelobi Zionis. Di dalam buku The Israel Lobby (2007), John Mearsheimer mendedahkan organisasi dan individu berkepentingan di kalangan birokrat US sentiasa melobi Presiden US supaya mentadbir dengan dasar-dasar yang menyokong kepentingan Israel. Selain AIPAC, ramai di kalangan penganut Kristian (evangelical) yang menyokong perjuangan Zionis umpama kesatuan Kristian untuk Israel (CUFI).

IM menjadi musuh ketat Israel kerana dasar perjuangan mereka yang fundamental terhadap agama. Islam sesekali tidak membenarkan tanah suci Baitulmaqdis dijajah oleh mana-mana kuasa asing. IM terlibat dalam perang Arab-Israel sejak negara haram itu tertubuh pada tahun 1948. IM terus terlibat dalam Perang Enam Hari pada 1967 yang menyaksikan Sinai dan Bukit Golan jatuh ke tangan Israel. IM juga terlibat membantu Mesir dalam Perang Yom Kippur 1973 bagi membebaskan kembali Sinai. Rangkaian IM di Palestin iaitu HAMAS sudah tidak asing lagi dalam perseteruan lama mereka dengan Israel sejak diasaskan pada tahun 1987.

Ironinya, dalam keadaan IM disenaraihitamkan oleh Saudi dan negara-negara Arab, mereka menyambut baik perdamaian dan perjanjian diplomatik dengan Israel. September tahun ini, UAE memulakan langkah normalisasi Israel sebelum diikuti oleh Bahrain dan Sudan. Beberapa hari lalu, Saudi dan Israel sedang berkira-kira untuk memeterai perjanjian yang sama menurut laporan Berita Harian.

Pembelaan terhadap Ikhwanul Muslimin

Walau bagaimanapun, masih terdapat autoriti Islam yang tidak bersetuju dengan kenyataan Saudi terhadap IM. Kenyataan balas bersama telah dikeluarkan oleh Ikatan Ulamak Islam mewakili beberapa entiti Ulamak seperti Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Ikatan Ulamak Ahli Sunnah, Majlis Ulamak Palestin Luar Negara, Majlis Ulamak Libya, Majlis Fatwa Libya, Majlis Ulamak Palestin, Maghribi, Sudan dan lain-lain. Mereka berpendirian, kenyataan Majlis Ulamak Saudi tidak mewakili Ulamak Islam yang lain. Menurut mereka lagi, kenyataan tersebut tidak melalui proses akademik yang sepatutnya seperti amalan-amalan biasa kesatuan-kesatuan Ulamak yang lain. Selain itu, mereka mengecam kenyataan generalisasi mengaitkan IM dengan segala bentuk keganasan yang dilakukan oleh mana-mana pihak.

Di samping itu, mereka menyatakan IM telah dikenali sebagai sebuah gerakan dakwah yang dianggotai oleh ramai ulamak, pendakwah, Mujahidin yang berkorban demi agama Allah dan sebagainya. Tanpa menafikan anggota kumpulan juga manusia biasa, yang tidak terlepas daripada ketaksiran, mereka menuntut kenyataan tersebut ditarik balik dan tidak mengheret Ulamak Islam termasuk para khatib ke kancah politik, apatah lagi dalam perkara yang menyokong dasar musuh Islam.

Malaysia antara Ikhwanul Muslimin dan Israel

Pendirian Kerajaan Malaysia dalam isu ini diharapkan terus konsisten. Tokoh-tokoh IM mendapat tempat yang baik sama ada di mata masyarakat Islam mahupun Kerajaan Persekutuan. Bekas pimpinan IM, Dr Yusof al-Qardawi dianugerahkan sebagai tokoh Maal Hijrah 2009. Bekas PM, Datuk Seri Najib Razak pernah mengunjungi HAMAS di Gaza pada tahun 2013. PAS sebagai salah sebuah gerakan Islam yang dipengaruhi pemikiran tokoh IM juga diiktiraf sebagai sebuah gerakan yang sah, bahkan anggotanya telah menjadi Menteri Kabinet dan memegang pelbagai posisi penting Kerajaan Persekutuan dan Negeri, termasuk Perak.

Mengenai pendirian Kerajaan Malaysia terhadap Palestin, sehingga kini kita masih konsisten untuk tidak mengiktiraf negara haram Israel. Bahkan, Malaysia menyokong usul PBB untuk menolak pengisytiharan Unilateral US bahawa Jurusalem sebagai ibu Negara Israel.

Sebagai umat Islam, kita mengharapkan umat Islam bersatu hati dalam pendirian terhadap Israel. Di samping itu, kita perlu menyokong segala gerakan yang menentang kezaliman Zionis merampas tanah air umat Islam tanpa mengira perbezaan ideologi, mazhab dan latarbelakang politik. Jika UAE dan Mesir boleh bersama Saudi dan Bahrain dalam normalisasi Israel walaupun berbeza aliran, mengapa tidak boleh kita bersama dalam apa jua perjuangan atas dasar agama Islam sendiri?

YB MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 27/11/2020

- Advertisement -