Beberapa sungai di Pahang lepasi tahap normal

- Advertisement -

KUANTAN: Paras air Sungai Triang di Bera kira-kira 150 kilometer dari sini, sudah melepasi tahap amaran susulan hujan berterusan di beberapa kawasan di Pahang sejak semalam.

Menurut laporan publicinfobanjir.water.gov.my setakat 12 tengah hari ini, paras air sungai itu mencatat bacaan 33.98 meter (m) berbanding paras normal 33.8 m.

- Advertisement -

Sungai Triang @ Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong pula melepasi tahap waspada dengan merekod paras air 52.26 m berbanding paras normal 51.86 m.

Turut melepasi tahap waspada ialah Sungai Jempol di Ran Felda Jengka, Maran apabila paras air mencecah 29.71 m berbanding 29 m bacaan paras biasa. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata penduduk yang berada berhampiran kawasan sungai dinasihatkan supaya peka dengan paras air dan bersedia untuk berpindah pada bila-bila masa.
 
“Sekiranya air didapati terus naik, adalah dinasihatkan supaya mereka bertindak awal dengan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di samping memastikan semua dokumen penting dibawa bersama.

“Ibu bapa juga harus memantau anak mereka supaya tidak dibiarkan bermain berhampiran sungai dan air banjir terutama ketika air sedang naik kerana dikhuatiri dihanyutkan arus deras,” katanya ketika dihubungi Bernama

Beliau berkata pihak bomba akan terus membuat pemantauan di setiap lokasi yang mudah ditenggelami air supaya bantuan segera dapat dihulurkan kepada mereka yang terjejas. – BERNAMA

- Advertisement -