Fakulti Al-Quran dan Sunnah KUIPs dirasmi Raja Perlis

- Advertisement -

KUALA PERLIS: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail hari ini berkenan merasmikan penubuhan Fakulti Al-Quran dan Sunnah, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs)  di sini.

Turut berangkat sama pada malis perasmian itu Raja Muda Perlis merangkap Canselor KUIPs Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Dalam titah perasmian baginda, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda bersyukur apabila mengetahui KUIPs semakin melangkah kehadapan, tambahan pula dengan penubuhan fakulti berkenaan.

- Advertisement -

“Sebenarnya, sejak dari awal lagi, adalah menjadi harapan saya untuk melihat wujudnya di Perlis sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang selaras dengan pegangan negeri ini iaitu Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

“Justeru, saya ingin melihat sebuah institusi pendidikan yang berupaya mengeluarkan para ilmuwan Islam yang memahami Al-Quran dan Sunnah dengan kefahaman yang sahih. Kefahaman yang seiras dengan yang apa difahami dan diajar oleh Nabi kita Muhammad S.A.W. dan para sahabat Baginda,” titah baginda.
 
 Baginda bertitah mengharapkan pengajian di kolej itu dapat memantapkan pengajian ibadah berteraskan dalil sahih daripada segi penghujahan ilmiahnya dan graduan KUIPs hendaklah berupaya menerangkan prinsip, konsep dan perincian ibadah khusus dalam Islam dengan dalil yang kukuh.

Tuanku Syed Sirajuddin percaya dengan kewujudan institusi pengajian yang teguh berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah bersama kefahaman sahih sahaja mampu membebaskan umat Islam daripada sebarang perbuatan yang menjejaskan akidah seorang muslim termasuk khurafat dan syirik.

Baginda bertitah pengajian Islam yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah akan berupaya membina hubungan rohani sebenar dengan Yang Maha Pencipta dan pergaulan baik antara makhluk yang dicipta. – BERNAMA

- Advertisement -