Tokoh politik tersohor India maut COVID-19

- Advertisement -

NEW DELHI, India: Ahli politik tersohor India, Ahmed Patel, meninggal dunia pada Rabu di sebuah hospital di Gurugram dekat New Delhi kerana komplikasi akibat COVID-19.

Patel, 71, tokoh penting dalam parti Kongres India dan menjadi anggota parlimen sebanyak lapan kali.

“Selepas disahkan dijangkiti COVID-19 kira-kira sebulan lalu, kesihatannya semakin merosot disebabkan kegagalan beberapa organ,” kata anaknya, Faisal Patel di Twitter. 

- Advertisement -

Parti Kongres menyifatkan Patel antara insan yang menjadi “tunjang utama” kepada kekuatan parti dan pemergiannya satu kehilangan besar kepada semua pihak tanpa mengira ideologi.

“Saya telah kehilangan kawan yang tiada galang gantinya, rakan sekerja yang setia dan juga seorang sahabat,” kata Presiden Kongres Sonia Gandhi dalam satu kenyataan.

Berasal dari barat Gujarat, Patel terkenal dengan sikap merendah diri tetapi amat dihormati sebagai ahli strategi berpengaruh.
Berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Sonia Gandhi dan memainkan peranan penting dalam membuat keputusan parti. 

“Ahmed Patel memberikan sumbangan besar kepada parti Kongres dan juga masyarakat,” kata pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) merangkap Menteri Dalam Negeri, Amit Shah di akaun Twitter beliau.
 
“Beliau memiliki kekuatan luar biasa dalam politik. Kehilangannya satu kerugian dan  ketiadaannya pasti dirasai,” kata Presiden Majlis-e-Ittehad-ul Muslimeen, Asaduddin Owaisi. – BERNAMA

- Advertisement -