Menyokong sektor yang mampu kekal, jana pekerjaan

- Advertisement -

KELMARIN saya telah mengulas mengenai perlunya mengekalkan momentum pemulihan ekonomi yang dicapai sejak Mac, cabaran-cabaran berbangkit ekoran gelombang ke-3 penularan COVID-19, serta usaha kerajaan dalam mewujudkan pekerjaan.

Hari ini saya ingin mengulas beberapa lagi persoalan mengenai inisiatif Belanjawan 2021, yang bakal diundi sehari lagi, insya-Allah. Ada beberapa pihak yang mempersoalkan usaha kerajaan seperti penambahbaikan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta keberkesanan lanjutan Program Subsidi Upah (PSU) dengan tanggapan bahawa kerajaan kurang prihatin di dalam suasana pandemik ini.

Saya telah berkongsi pandangan saya dalam Laporan Laksana yang ke-30 tengah hari semalam di laman Facebooksaya. Berikut jawapan dan respons saya kongsikan:

- Advertisement -

Pertama, Dari segi bantuan langsung:

(a) Tahun ini sahaja kerajaan telah menyalurkan RM21 bilion kepada lebih 10 juta penerima melalui Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN). 

(b) Melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi tahun 2021 pula, bantuan untuk isi rumah ditingkatkan kepada sehingga RM1,800 bergantung kepada jumlah tanggungan dan pendapatan. 

(c) Peningkatan juga diberikan untuk kategori bujang yang layak dengan bantuan RM350, berbanding RM300 melalui BSH sebelum ini. 

Di dalam Belanjawan 2021, selain BPR terdapat pelbagai lagi penambahbaikan untuk golongan rentan. Secara keseluruhannya, bantuan langsung yang akan kerajaan salurkan di dalam Belanjawan 2021 adalah berjumlah RM30.8 bilion. Ini termasuk:

(a) Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin yang ditingkatkan daripada kadar maksimum RM450 sebulan, kepada RM1,000 sebulan. Ini adalah peningkatan lebih 100 peratus. 

(b) Rancangan Makanan Tambahan bagi pelajar dari keluarga B40 pula ditambahbaik, dengan bekalan susu ditingkatkan dari dua kali seminggu kepada setiap hari persekolahan, iaitu penambahbaikan 150 peratus dengan peruntukan RM420 juta.

(c) Selain itu, kadar Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan.

(d) Kadar Bantuan Warga Emas, Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar pula dinaikkan daripada RM350 kepada RM500.

(e) Manakala Kadar Elaun Pekerja OKU dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.

Kerajaan juga menyokong golongan mudah terjejas baharu, contohnya seperti golongan M40 yang mengalami tekanan dari segi pendapatan. Selain pelbagai penurunan dan pelepasan cukai, kerajaan juga memudahcara perbelanjaan penting seperti kos berkaitan perubatan dan kesihatan dengan pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi kategori tertentu. Yang penting, bantuan pembayaran balik pinjaman juga dilanjut dan dipermudahkan untuk M40 yang masih terjejas. Manakala hampir kesemua sokongan dari segi pendapatan dan pekerjaan juga boleh dimanfaatkan oleh golongan ini.

Menyentuh pula mengenai pekerjaan; komitmen dan usaha kerajaan dalam menjana 500,000 pekerjaan pada tahun 2021 adalah menerusi pelbagai langkah yang berhubungkait, yang perlu dilihat secara holistik. Tidak wajar setiap langkah dianalisa secara berasingan kerana semua langkah-langkah ini telah dirangka untuk saling melengkapi antara satu sama lain di dalam usaha kerajaan untuk menjana pekerjaan. Ini bukan sahaja dari segi Program Subsidi Upah (PSU); tetapi juga dari segi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan yang dijangka menyokong 250,000 pekerjaan, Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran untuk 200,000 pelatih, dan banyak lagi. 

Dari segi Program Subsidi Upah (PSU), izinkan saya mengulas sedikit: 

(a) Pada tahun ini sahaja, RM18 bilion telah diperuntukkan dan RM12.3 bilion telah diluluskan bagi menyokong lebih 2.6 juta pekerja dan lebih 320 ribu majikan setakat ini. Ini tidak termasuk bantuan kepada 200,000 pekerja melalui program pengambilan pekerja dan peningkatan kemahiran yang juga diperkenalkan sejak Mac lalu. Keseluruhannya, hampir 3 juta tenaga kerja kita telah dibantu melalui inisiatif kerajaan sejak bulan Mac.

(b) Dalam isu ini, kerajaan sentiasa responsif dengan keperluan semasa. Daripada tempoh 3 bulan dalam pakej Prihatin, PSU ini dilanjutkan selama 3 bulan semasa Prihatin PKS Tambahan dan seterusnya 3 bulan lagi semasa PENJANA dan akhirnya 3 bulan sekali lagi semasa KITA PRIHATIN. 

(c) Tambahan lagi, PSU ini sebenarnya masih berjalan, dan permohonan bagi PSU masih dibuka sehingga hujung Disember 2020. 

Manakala dalam Belanjawan 2021, kerajaan juga mengambil langkah proaktif melalui:

(a) Pertama, tambahan RM1.5 bilion untuk 3 bulan yang dikhususkan kepada 70,000 majikan dan 900,000 pekerja sektor pelancongan dan peruncitan. Ingin saya tekankan bahawa sektor pelancongan dan peruncitan ini sangat meluas. Penambahan ini dirangka bagi memastikan kesemua sub-sektor terbabit dan yang paling terkesan mendapat bantuan secukupnya.

(b) Kedua, inisiatif untuk sektor-sektor lain juga ada, contohnya PKS dan PKS mikro di mana pelbagai saluran geran dan pembiayaan diperuntukkan di dalam belanjawan ini. 

(c) Ketiga, yang utama juga adalah pelan jangka sederhana kerajaan untuk meningkatkan kemahiran pekerja, dan usaha menganjak perniagaan kepada bidang dan pasaran baru. Inilah juga sebabnya kerajaan bersedia memperuntukkan RM1 bilion sebagai pakej galakan pelaburan nilai tambah tinggi seperti aeroangkasa dan elektronik, dan RM3.7 bilion untuk menjana peluang pekerjaan dengan kerjasama pihak GLC dan swasta. 

(d) Keempat, dana lebih RM9 bilion juga bakal diuruskan untuk memperkasa infrastruktur digital negara, termasuk menambahbaik kesalinghubungan 430 buah sekolah dan kawasan perindustrian, serta usaha menyediakan kemudahan alat elektronik mudah alih dan komputer riba untuk membantu perjalanan rakyat ke arah norma baharu kini.

Ingin saya nyatakan juga di sini bahawa kesemua bantuan langsung dan inisiatif untuk pekerjaan yang saya ulas setakat ini, termasuk inisiatif besar-besaran seperti Program Subsidi Upah dan Special Relief Facility – dengan jumlah melebihi RM90 bilion untuk tahun 2020 dan 2021, adalah disalurkan kepada semua rakyat, pekerja dan majikan tanpa mengira bangsa atau agama. Sesiapa saja boleh memohon, tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, Orang Asal, Kadazan, atau mana-mana rakyat Malaysia. Ini adalah sebahagian daripada agenda kerajaan untuk menjamin setiap rakyat dapat mengecapi hasil pembangunan negara, selaras dengan semangat kemakmuran bersama menerusi belanjawan bagi tahun 2021. 

Secara keseluruhannya, saya yakin usaha kerajaan akan meletakkan negara di landasan yang betul, dengan track record prestasi KDNK terbaik di kalangan beberapa Negara Asean pada suku ketiga 2020, dan kadar pengangguran yang kian menurun. 

Namun kerajaan menyedari, realiti kesukaran rakyat pada saat ketidaktentuan pandemik ini. Usaha kita sedikit sebanyak bergantung kepada kejayaan membendung COVID-19, dan jika kerajaan dapat menjalankan tanggungjawab dengan lancar. 

Adalah harapan saya agar belanjawan ini diteliti oleh semua pihak dari segi intipatinya yang amat memberatkan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan. Kerajaan juga komited untuk memperhalusi cadangan-cadangan penambahbaikan, sambil mengimbangi setiap keperluan rakyat.

Penutup

Kebelakangan ini, banyak tohmahan dan kritikan yang dilemparkan terhadap keprihatinan kerajaan membela nasib rakyat lebih-lebih lagi menjelang Belanjawan 2021 menantikan kelulusan Dewan Rakyat pada 26 November. Saya mohon tuan-tuan dan puan-puan menilai sendiri komitmen kerajaan yang terserlah melalui empat pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan dalam hanya 8 bulan, yang telah memanfaatkan berjuta keluarga, rakyat dan beratus ribu perniagaan. Malah, kita semua telah menerima manfaat, secara langsung atau tidak langsung. 

Percayalah, nasib rakyat akan terus dibela oleh kerajaan ini, lebih-lebih lagi dalam usaha membina momentum pemulihan ekonomi.

Mahsyur Sultan memakai mahkota,
Bersadur kencana berbintang lima;
Kukuh belanjawan teguhkan kita,
Negara sejahtera menang bersama.

TENGKU ZAFRUL AZIZ 
Menteri Kewangan Malaysia – HARAKAHDAILY 25/11/2020

- Advertisement -