Wanita diragut rantai emas, ditumbuk

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berdepan nasib malang apabila bukan sahaja kerugian RM10,000 apabila dua utas rantai emas miliknya diragut, malah beliau turut ditumbuk oleh suspek dalam kejadian di sebuah farmasi di Jalan Gombak di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Rajab Ahad Ismail berkata dalam kejadian kira-kira 8:45 malam itu, mangsa sedang membuat pembayaran di farmasi tersebut apabila didatangi suspek dari arah belakang lalu menarik rantai emas milik wanita itu dan menumbuk mukanya.

“Selepas itu, suspek didapati melarikan diri dengan sebuah kenderaan ke arah yang tidak pasti. Hasil siasatan awal melalui kamera litar tertutup telah merakam pergerakan dua suspek iaitu dua lelaki yang memakai pelitup muka.

- Advertisement -

“Siasatan juga mendapati suspek telah menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kanan ASP Shahrizal Saleh di talian 017-713 4705 atau Pegawai Penyiasat Insp Aisyah Mohd Nor di talian 013-933 8214.

Atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – BERNAMA

- Advertisement -