Kedah sangkal dakwaan pembalakan di Hulu Muda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Aktiviti pembalakan yang didakwa sebuah NGO berlaku di Kompleks Hutan Hulu Muda adalah mengelirukan dan tidak bertanggungjawab di mana kenyataan tersebut telah disangkal Pejabat Menteri Besar Kedah.

- Advertisement -

Malah, dua imej setelit yang dilampirkan sebagai kesan pembalakan di Hutan Simpan Bukit Keramat berhampiran Empangan Ahning di Daerah Padang Terap tidak termasuk dalam kawasan Kompleks Hutan Hulu Muda di Daerah Sik.

Menurut kenyataan itu, Hutan Simpan Bukit Keramat dengan keluasan 11,105 hektar telah diwartakan sebagai hutan simpan pada 17 Januari 2013 di mana terbahagi dua kategori iaitu hutan pengeluaran dan hutan pelindungan.

“Hutan pengeluaran dengan keluasan 5,899 hektar adalah kawasan di mana hasil kayu boleh dikeluarkan manakala hutan perlindungan yang seluas 5,206 hektar adalah digazetkan sebagai kawasan hutan tadahan.

“Jawatan Kuasa Tetap Hasil Bumi (JKTHB) yang bersidang pada 1 Disember 2017 telah meluluskan kawasan seluas 1,400 hektar untuk aktiviti pembalakan, manakala pada 14 Disember 2017, (sebanyak) 380 hektar lagi diluluskan. 

“Aktiviti pembalakan tidak dijalankan di kawasan yang digazetkan sebagai hutan perlindungan atau Hutan Simpan Kekal,” jelas kenyataan tersebut kepada media.

Dijelaskan lagi, kawasan pembalakan yang menjadi fokus NGO berkenaan melalui pemaparan imej satelit disebarkan itu adalah kawasan telah diluluskan secara sah melalui keputusan JTHB dalam mesyuarat bertarikh 1 Ogos 2017.

Dinyatakan juga kawasan itu dipersetujui bagi ‘swapping’ dengan syarikat Tradewinds di mana setelah diberi kelulusan, hasil hutan di kawasan berkenaan perlu dikeluarkan sebelum penyerahan hak milik tanah kepada syarikat Tradewinds dilaksanakan.

“Dalam mesyuarat pada 14 Disember 2017, JTHB telah meluluskan permohonan syarikat Rimba Inas Enterprise untuk menjalankan projek ladang hutan seluas 380 hektar.

“Aktiviti pembalakan yang dijalankan di Hutan Simpan Bukit Keramat dilaksanakan secara tebang habis bagi tujuan ‘swapping’ untuk dijadikan tanah bermilik syarikat Tradewinds,” maklum kenyataan itu.

Turut dipetik adalah kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada Ogos lalu yang memberi jaminan bahawa Kawasan Hutan Simpan Hulu Muda akan dilindungi sebagai kawasan tadahan.

Tegas kenyataan itu lagi, adalah tidak ada kaitan sama sekali dengan aktiviti pembalakan di Kawasan Hutan Simpan Bukit Keramat sebagaimana ia dikaitkan dalam kenyataan akhbar kumpulan NGO tersebut.

“Sehingga kini, tidak ada aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan Hutan Simpan Hulu Muda dan tuduhan seolah-olah Kerajaan Negeri bawah pimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor memungkiri jaminan yang telah diberikan, adalah tidak berasas sama sekali.

“Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah menjalankan pemeriksaan di lapangan pada 17 November 2020 dan mengesahkan tiada sebarang salah laku atau tebangan di luar kawasan yang telah diluluskan berlaku di situ.

“Justeru, tidak timbul sebarang isu pelanggaran undang-undang sebagaimana kebimbangan pihak NGO berkenaan kononnya pembalakan boleh menjejaskan hak Kerajaan Kedah untuk menerima dana Kerajaan Persekutuan dan antarabangsa bagi pelindungan sumber hutan seperti EFT dan REDD Plus.

“Tambahan pula, kelulusan untuk tujuan ‘swapping’ tanah telah diberikan lebih tiga tahun lalu berdasarkan terma undang-undang yang sah,” jelas kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 24/11/2020

- Advertisement -