Lanjutkan perbahasan Bajet 2021 cari persetujuan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat boleh dilanjutkan dalam usaha mencari titik persetujuan terbaik antara blok kerajaan dan pihak pembangkang.

Pakar Perlembagaan Persekutuan Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata perkara itu boleh dilaksanakan dengan persetujuan Ahli Parlimen sekiranya persetujuan masih tidak boleh dicapai dan perbincangan lebih menyeluruh diperlukan.

“Andainya ada perkara yang tidak boleh dipersetujui dan memerlukan pengkajian lebih khusus maka rang undang-undang (tersebut) boleh ditangguhkan pengundiannya. 

- Advertisement -

“Contohnya, jika perbahasan ditetapkan selama 10 hari maka ia boleh dilanjutkan kerana ini kepentingan (negara) dan (jika) dibandingkan dengan undang-undang lain, Perbekalan 2021 ini adalah paling penting,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Government Shutdown’ jika Belanjawan 2021 tidak lulus yang disiarkan secara langsung di Bernama TV, malam tadi.

Perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 dijangka diteruskan untuk hari yang kesembilan di Dewan Rakyat esok sebelum penggulungan oleh menteri berkenaan.
 
Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata sesi perbahasan di Dewan Rakyat bertujuan meneliti setiap rang undang-undang yang dibawa kerajaan agar ia benar-benar tuntas dan mantap untuk diluluskan.

Melalui perbahasan juga, pindaan boleh dibuat untuk menambah atau mengeluarkan sebarang perkara atau cadangan awal sekiranya dirasakan perlu.

“Sekiranya kerajaan menerima (pindaan tersebut) maka ia dibenarkan. Yang penting adalah apabila perbahasan berlaku di dewan, Ahli Parlimen boleh mencadang, menambah atau membuang rang undang-undang itu. Sekiranya justikasi itu baik dan kerajaan buka hati ia boleh diterima,” katanya. – BERNAMA 

- Advertisement -