LUMUT: PAS Kawasan Lumut telah mengambil langkah proaktif menjejaki penduduk terkesan susulan banjir kilat yang melanda kawasan ini terutama di Lekir, di sini bermula awal pagi semalam.
Yang DiPertua PAS Lumut, Rosli Abd Rahman berkata, langkah pantas Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Lumut sebagai usaha awal kepada mangsa banjir ini sangat membantu penduduk yang terjejas.
“Saya selaku Yang DiPertua PAS Lumut merakamkan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu 15 merangkap Bendahari AMAL Lumut, Muhammad Safari Mat Abas dan Setiausaha AMAL, Muhd Fathi Mohamad.
“Tindakan pantas AMAL telah membantu OKU, orang tua dan penduduk di sini memindahkan barang ke tempat yang tinggi serta bertanya keadaan semasa mangsa dan bantuan awal makanan. Moga Allah merahmati. Tahniah,” ujar beliau.
Jejak ini tertumpu pada tiga kawasan yang terjejas teruk akibat banjir iaitu Batu 14, Batu 15 dan Ulu Kayan di mana puluhan kediaman dihuni ratusan penduduk telah dimasuki air lumpur.
Rumah yang terletak disepanjang lebuh raya Lekir – Teluk Intan ini mengalami kesan tersebut ekoran kerja-kerja pembinaan lebuhraya dan hakisan tanah mengakibatkan saluran air parit tersekat.
Perkara tersebut diakui sendiri JPKK Batu 14, Saufi Bustamam Shaari di mana kesan banjir itu turut menyaksikan penduduk di Ulu Kayan juga telah dipindahkan ke Pusat Banjir di Surau Ulu Kayan.
Anggota AMAL bersama Ahli Majlis Perbandaran Manjung, Habibah Rasdi telah menyampaikan sumbangan juadah makan malam kepada mereka, selain rombongan PAS turut meninjau dan menyantuni ‘frontliners‘.
Para petugas barisan hadapan yang terdiri dalam kalangan anggota PDRM dan RELA bertugas menjaga sempadan daerah di Kayan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.
Sumbangan Dapur Rakyat bagi membantu orang ramai masih diperlukan dan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam 08059020183392 atas nama PAKAT (Pusat Tarbiyah Lumut).
Pimpinan PAS Lumut yang turut hadir dalam misi bantuan ini adalah Bendahari, Zulkifli Ahmad Yusuf dan Ketua Penerangan, Ahmad Kamarulnizam Majid serta Ketua Pemuda, Muhammad Nizar Majid dan Komandan AMAL, Muazam Hafiz Osman. – HARAKAHDAILY 23/11/2020
