Pasir Gudang diisytihar Majlis Bandaraya hari ini

ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sebagai Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) berkuat kuasa, hari ini.

Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad mengumumkan perkara itu kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kerja MBPG, di Kota Iskandar, di sini, sekali gus menyerahkan Watikah Pengisytiharan MBPG kepada Datuk Bandar Pasir Gudang, Asman Shah Abdul Rahman.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Ayub Jamil.

Advertisement

Hasni berkata MBPG merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketiga dinaik taraf sebagai bandar raya selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada 1994 dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada 2017.

“Kepesatan pembangunan Pasir Gudang sebagai sebuah bandar industri dan pelabuhan dengan memiliki dua pelabuhan bertaraf antarabangsa dan kemudahan prasarana menyeluruh yang mengutamakan kesejahteraan rakyat serta lengkap memenuhi syarat keperluannya, maka, adalah wajar Pasir Gudang mendapat pengiktirafan dan status sebagai sebuah bandar raya,” katanya.
 
Menurut Hasni, kawasan pentadbiran MBPG yang berkeluasan 35,956 hektar yang meliputi Mukim Tiram dan sebahagian Mukim Plentong itu menempatkan seramai 533,868 orang dengan majoriti penduduk Melayu sebanyak 66 peratus, Cina dan India masing-masing 11 peratus manakala lain-lain sebanyak dua peratus.

“Jumlah pegangan harta ialah sebanyak 90,758 dengan anggaran hasil sebanyak RM127.2 juta setahun.

“Sehingga 31 Dis lepas, MPPG telah berjaya mengutip cukai taksiran semasa sebanyak RM103,132,089 (85.6 peratus) daripada RM120,458,033 manakala bagi kutipan tunggakan cukai taksiran pula sebanyak RM18,925,282 (61.1 peratus) berjaya dikutip daripada jumlah tunggakan keseluruhan RM30,967,097,” katanya.

Beliau berkata jumlah keseluruhan hasil yang dikutip termasuk cukai, bukan cukai dan terimaan bukan hasil sehingga Disember lepas berjumlah RM182.7 juta manakala hingga bulan lepas berjumlah RM160.3 juta.

Selain itu, perjawatan di MPPG juga terus berkembang dengan mempunyai sumber manusia seramai 541 orang termasuk 203 orang bertaraf kontrak.
 
“Kerajaan negeri Johor merafak sembah takzim dan menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor atas perkenan yang diberikan dan semoga dengan pemasyhuran itu, pembangunan Pasir Gudang dan lokaliti sekitarnya terus diperkasakan menerusi sistem penyampaian perkhidmatan bertaraf dunia,” katanya.

Sementara itu, Asman Shah yang sebelum ini merupakan Pegawai Daerah Mersing berkata beliau akan menumpukan isu keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan pentadbirannya.

“Fokus saya ialah untuk menjadikan Pasir Gudang sebagai sebuah bandar industri yang selamat dan lestari untuk didiami penduduknya.

“Selain itu, saya juga akan memberikan tumpuan kepada aspek kemasyarakatan termasuk menjamin kelangsungan 16 kampung tradisi yang berada dalam kawasan berkenaan,” katanya. – BERNAMA