Surau di kawasan Kluster Mengketil ditutup

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan surau dan musalla yang terletak di kawasan Kluster Mengketil ditutup.

Yang Dipertuanya, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata,
penutupan itu berkuatkuasa semalam sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Katanya, perkara itu dilaksanakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan.

Advertisement

“MAIK turut mengarahkan semua kuliah agama termasuk kelas al-Quran di masjid serta surau ditangguhkan sehingga 6 Disember ini.

“Bagaimanapun solat Jumaat dan fardu di masjid serta surau masih boleh diteruskan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan pandemik koronavirus di Kelantan,” katanya pada satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya juga, Sultan Muhammad V sebagai ketua agama Islam di Kelantan mengampuni perkenan agar solat Jumaat, fardu serta aktiviti di masjid, surau dan musalla ketika PKPB dilaksanakan secara terkawal.

Kata beliau, berkuatkuasa semalam, solat Jumaat dan fardu di masjid bandar, jajahan serta mukim hanya dibenarkan sehingga 50 jemaah dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

“Bagi surau pula jemaah dibenarkan maksimum 30 orang pada setiap waktu dengan penjarakan fizikal satu meter.

“Manakala di musalla hanya 10 orang, bagaimanapun tertakluk kepada kapasiti muatan sesebuah surau selepas penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2020