KBS selesai isu Kasma Daniel secara tertutup

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak terikat untuk memaklumkan sebarang keputusan Jawatankuasa Bantuan kepada pihak lain selain persatuan yang membuat permohonan. 

- Advertisement -

Itu penjelasan KBS berhubung isu yang tular di media sosial Facebook berkaitan bentuk pemberian dan penyaluran sumbangan kepada atlet sukan permotoran Kasma Daniel Kasmayudin daripada pasukan OneXOX TKKR SAG Team.

Dalam kes Kasma Daniel, menurut KBS, permohonan diterima daripada Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) dan sejumlah peruntukan diluluskan kepada MAM melalui surat bertarikh 3 Sept setelah dinilai Jawatankuasa Bantuan.

“Bantuan kewangan itu disalurkan sebagai tanda sokongan bagi membolehkan Kasma Daniel seorang atlet dan belia negara yang mempunyai potensi besar dapat mengharumkan nama negara dalam kejohanan yang disertainya,” kata kementerian itu dalam kenyataan, semalam.

Pelumba negara itu dilapor menerima bantuan kewangan sebanyak RM52,000 untuk menampung tiket penerbangan dan kos penginapan bagi menyertai Kejuaraan Dunia Moto2 musim ini.
 
Terdahulu, satu hantaran laman Facebook pasukan OneXOX TKKR SAG Team pada Jumaat meluahkan rasa tidak puas hati apabila tidak dimaklumkan berhubung bantuan diberikan kepada pelumbanya Kasma Daniel.

Dalam perkembangan sama, KBS berkata pihaknya juga tidak menghalang sama ada persatuan, atlet ataupun pasukan untuk membuat sebarang kenyataan berhubung kelulusan dan penyaluran bantuan yang telah disempurnakan mengikut  peraturan kewangan. 

Kementerian itu menegaskan secara prinsipnya tiada sebarang bentuk bantuan kewangan disalurkan pihaknya bagi pembangunan sukan secara terus kepada mana-mana individu atau pun syarikat. 

“Jawatankuasa Bantuan akan mempertimbangkan sesuatu permohonan yang diterima KBS dan sekiranya diluluskan ia akan disalurkan melalui persatuan sukan berkaitan seperti MAM dalam kes ini.

“Jawatankuasa Bantuan ini juga terikat dengan Garis Panduan dan tatacara kewangan sedia ada dan boleh diaudit pada bila-bila masa,” katanya.

KBS berkata pihaknya komited membantu seluruh ekosistem sukan negara terutama yang terkesan akibat penularan COVID-19, selain menzahirkan penghargaan kepada persatuan sukan, pihak pengurusan dan syarikat penajaan yang sentiasa meletakkan kepercayaan kepada atlet negara. – BERNAMA

- Advertisement -