Mengapa Iblis menjadi Iblis?

- Advertisement -

IMAM Jamaluddin Al Qasimi ketika mentafsirkan ayat ke-23 Surah al-A’raf, menyebutkan 5 sebab mengapa Iblis menjadi hina:

- Advertisement -

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمۡنَاۤ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمۡ تَغۡفِرۡ لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِینَ

(1) Tidak merasa bersalah.

Ketika Allah memerintahkan untuk sujud memberi penghormatan kepada Adam A.S, Iblis langsung tidak mahu menurutnya:

وَلَقَدۡ خَلَقۡنَـٰكُمۡ ثُمَّ صَوَّرۡنَـٰكُمۡ ثُمَّ قُلۡنَا لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ ٱسۡجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوۤا۟ إِلَّاۤ إِبۡلِیسَ لَمۡ یَكُن مِّنَ ٱلسَّـٰجِدِینَ

(al-A’raf: 11)

(2) Tidak mengakui kesalahannya.

Ketidakpatuhan Iblis tidak hanya terhenti setakat tidak mahu sujud, bahkan tidak menganggap ia adalah suatu kesalahan. 

(3) Tidak menghinakan diri dan menyandarkan kepada Tuhan.

Punca Iblis tidak mengaku salahnya kerana menganggap dia jauh lebih baik, bahkan mengangkat dirinya lebih mulia berbanding Adam A.S:

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسۡجُدَ إِذۡ أَمَرۡتُكَۖ قَالَ أَنَا۠ خَیۡرࣱ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِی مِن نَّارࣲ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِینࣲ

(al-A’raf: 12)

(4) Tidak segera bertaubat.

Akibat sikap Iblis yang sedemikian, Allah menjadi murka dan menghukumkan Iblis untuk keluar dari syurga. Tetapi Iblis langsung tidak menunjukkan wajah keinsafan, bahkan berdalih seakan-akan tidak bersalah dan meredhai kesesatannya:

قَالَ أَنظِرۡنِیۤ إِلَىٰ یَوۡمِ یُبۡعَثُونَ

(al-A’raf: 14)

(5) Berputus asa dari rahmat Allah.

Kemuncak kejahatan Iblis semakin jelas dengan iltizamnya mahu menyesatkan manusia:

قَالَ فَبِمَاۤ أَغۡوَیۡتَنِی لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَ ٰ⁠طَكَ ٱلۡمُسۡتَقِیمَ

(al-A’raf: 16)

Kata Al -Qasimi, Nabi Adam A.S pula menjadi bahagia kerana berlawanan lima sifat di atas, iaitu merasa bersalah, mengakui salahnya, merendahkan dirinya kepada Allah, segera bertaubat dan tidak berputus asa daripada rahmat Allah.

Pengajaran

Al-Quran menyebutkan kisah Nabi Adam A.S dan Iblis sebagai gambaran buat kita akan perihal dua golongan. Satu yang taat, segera kembali kepada Tuhan, manakala satu lagi ingkar dan selesa dengan penyelewengan. 

Syeikh Abi Faraj AlJauzi mengarang satu kitab yang diberi tajuk Talbis Iblis, mendedahkan segala taktik tipu daya Iblis yang mengenai semua golongan yang membayangkan betapa komitednya Iblis dengan profesionnya. Hal ini turut disebutkan Allah melalui ayat ke 17 Surah al-A’raf:

ثُمَّ لَـَٔاتِیَنَّهُم مِّنۢ بَیۡنِ أَیۡدِیهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَیۡمَـٰنِهِمۡ وَعَن شَمَاۤىِٕلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِینَ

Tidak ada golongan yang akan terlepas daripada godaannya, sama ada yang baik atau yang ingkar sebagaimana menurut Ibnu Abas. Hanya mereka yang diikhlaskan oleh Allah sahaja akan diberi petunjuk oleh Allah:

إِلَّا عِبَادَكَ مِنۡهُمُ ٱلۡمُخۡلَصِینَ

(al-Hijr: 40)

Tidak ada yang diharapkan kecuali kita tergolong dalam kalangan tersebut.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Timbalan Rektor KUIZM – HARAKAHDAILY 19/11/2020

- Advertisement -