Jadikan Pahang negeri pertanian makanan utama negara

- Advertisement -

KUANTAN: Pahang perlu melangkah untuk menjadi negeri pertanian makanan utama negara selari dengan pasaran serta permintaan luas dalam dan luar negara terhadap keperluan asas tani.

- Advertisement -

Ustaz Shahril Azman Abd Halim (PAS-Jengka) berkata, kerajaan negeri mesti mengguna dan mengusahakan tanah-tanah terbiar dengan semaksimum mungkin bagi mengeluarkan hasil pertanian.

Jelas beliau, ia sebagai makanan negara beserta peluang mewujudkan industri hiliran setempat di mana pembangunan tanah tersebut juga dapat dibuat secara integrasi tanaman dan ternakan.

“Menjadikannya Agro-Pelancongan. In sya Allah dengan langkah bersungguh-sungguh serta profesional, maka tidak mustahil negeri Pahang akan lebih maju ke hadapan,” ujarnya membahas Belanjawan 2021 Pahang pada Sidang DUN Pahang, di sini semalam.

Disamping itu segala kecekapan mengurus hendaklah diutamakan, pencapaian kerajaan negeri dalam membangunkan negeri serta taraf hidup rakyat pelbagai kaum pelbagai budaya serta golongan miskin hendaklah diberi perhatian yang lebih supaya kerajaan negeri Pahang diberkati dan dirahmati Allah dunia dan akhirat.

Beliau pada ucapan itu banyak menyentuh mengenai usaha meningkatkan hasil negeri ke arah sasaran untuk mencapai pendapatan RM1 bilion dalam masa dua atau tiga tahun akan datang.

Justeru, beliau mencadangkan penerokaan dipergiatkan dengan strategi-strategi yang menguntungkan, seperti mewujudkan kilang sawit Yayasan Pahang melibatkan beberapa kawasan ladang.

Antara disebut beliau adalah Ladang Mentelong, Sungai Berkembar, Sungai Kemelai dan Sungai Anakendau yang mempunyai keluasan lebih 50,000 ekar bagi tujuan pembinaan kilang dimaksudkan itu.

“Tapak kilang telah ada namun kilang sawit Yayasan Pahang belum dapat dibangunkan. Sekiranya Yayasan Pahang ada kilang sendiri, maka pendapatan baru hasil perahan minyak sawit mentah, minyak terbuang, tandan-tandan, tempurung sawit masih ada nilai komersial.

In sya Allah, Yayasan Pahang akan meraih keuntungan dari kilang ini dan tidak perlu lagi jual di kilang swasta,” ujarnya turut berharap pengurus sumber asli seperti bahan mineral meningkatkan lagi kekayaan negeri Pahang.

Ustaz Shahril turut mengutarakan peningkatkan hasil tanah dengan mencadangkan supaya kelulusan TOL bercantum permit bahan batu disegerakan kerana kerajaan negeri dapat mengutip hasil lebih cepat dan ianya berkait rapat dengan pembangunan setempat.

Turut dibangkitkan beliau adalah isu pencemaran Sungai Lentang di Bentong di mana tular dan pelbagai persepsi dibuat oleh banyak pihak mengenai aktiviti pembalakan dilaksanakan di situ.

“Pada hemat saya sekiranya kelulusan lesen membalak di atas tanah milik melalui Borang 5 akan memberi kelebihan kepada pemilik tanah. Maka isunya bukan pengeluaran kayu balak tetapi bagaimana tanah ini diluluskan dengan memasukan keberadaan sungai di dalam lot tanah tersebut.

“Suka saya menyarankan kepada semua Pentadbir Tanah supaya memastikan laporan siasatan tanah sebelum diangkat untuk kelulusan oleh pihak berkuasa negeri sekurang-kurangnya mempunyai 65 peratus laporan kesesuaian dan fizikal di lapangan,” kemukanya.

Beliau turut mengingatkan supaya kecekapan mengurus hendaklah diutamakan dan pencapaian kerajaan negeri dalam membangunkan negeri serta taraf hidup rakyat pelbagai kaum dan budaya serta golongan miskin diberi perhatian.

Semua itu nasihatnya, agar supaya Kerajaan Negeri Pahang diberkati dan dirahmati Allah dunia dan akhirat. – HARAKAHDAILY 19/11/2020

- Advertisement -