Rakyat tempatan dalang seludup dadah

- Advertisement -

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis merampas 300 kilogram ketulan ganja mampat dan daun ketum seberat 1.5 tan dalam dua operasi khas membanteras penyeludupan dadah di perairan Perlis.

Pengarah Maritim Negeri Kedah Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, dalam serbuan pertama pada 15 November lepas sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran ditahan pada jarak 2.7 batu nautika dari barat laut pantai Kuala Sanglang.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot menjumpai 17 bungkusan plastik hitam disyaki ketulan ganja mampat dianggar seberat 300 kilogram dari negara jiran.

- Advertisement -

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk ketulan ganja mampat, bot fiber beserta enjin sangkut bergalah dianggar lebih kurang RM910,000 dan merupakan rampasan terbesar dilakukan setakat ini,” katanya pada sidang media di Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis hari ini.

Manakala kata beliau pada serbuan kedua 16 November pula pihaknya berjaya merampas 148 beg bungkusan berisi daun ketum yang bernilai RM120,000.

Beliau juga berkata, siasatan kedua-dua kes tersebut mendapati dalang utama sindiket terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing yang berada di Kedah dan Perlis.- HARAKAHDAILY 18/11/2020

- Advertisement -