Perkeso gantung bayaran tuntutan palsu majikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,713 syarikat berstatus ​Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) telah menutup perniagaan sepanjang Mac sehingga 30 Oktober tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Dato’ Seri M Saravanan berkata berdasarkan rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebanyak ​221 majikan telah menerima bantuan Program subsidi upah (PSU).

- Advertisement -

Bagaimanapun, katanya Perkeso telah menerima sebanyak ​388 kes aduan oleh pekerja terhadap majikan yang menyalah gunakan bayaran ​PSU yang ​melibatkan dana hampir RM20 juta sehingga 11 November lalu.

Katanya, daripada 388 kes sebanyak 232 kes aduan adalah di dalam proses inkuiri bagi melengkapkan maklumat aduan untuk diambil tindakan selanjutnya.

“Perkeso akan menggantung pembayaran kepada majikan-majikan yang disyaki membuat tuntutan palsu sehingga siasatan ke atas aduan-aduan tersebut selesai.

“Dalam menangani masalah tuntutan palsu ini, Perkeso telah mengambil tindakan ke atas sebahagian majikan yang tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Daripada aduan yang diterima, ​156 kes tuntutan palsu dan salah guna dana PSU telah dikenal pasti oleh Perkeso untuk tindakan menuntut kembali bayaran dari majikan-majikan tersebut,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab Charles Anthony Santiago [DAP-Klang] memohon penjelasan berhubung bilangan syarikat yang menerima ​bantuan subsidi upah dan terpaksa gulung tikar.

Charles juga meminta kementerian menyatakan bilangan penutupan perniagaan ​SME dan kemuflisan individu akibat pendemik Covid-19 daripada Mac sehingga Oktober 2020 dan bilangan majikan yang menerima subsidi upah tetapi tidak menyalurkan wang tersebut kepada pekerja dan hukuman terhadap mereka.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata sehingga kini Perkeso telah mengenal pasti 5,537 majikan yang telah melanggar syarat dan terma yang telah ditetapkan di mana majikan tersebut telah disenarai hitamkan.

“Antara sebab–sebab penyenaraian hitam majikan adalah pemberhentian pekerja dan tidak membayar caruman kepada Perkeso,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/11/2020

- Advertisement -