AMAL Pahang bersiapsiaga hadapi musim tengkujuh

- Advertisement -

PAYA BESAR: Jawatankuasa Kampung Batu 6 Sungai Lembing telah mengadakan gotong-royong kebersihan dan menebang pokok yang berisiko tumbang dikhuatiri akan mendatangkan bahaya.

- Advertisement -

Inisiatif ini bagi mengelak kemungkinan bencana yang boleh menimpa penduduk atau merosakkan kediaman berikutan cuaca terutamanya musim tengkujuh bakal tiba tidak berapa lama lagi.

Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Negeri Pahang dan AMAL Kawasan Paya Besar dengan kekuatan lebih 20 anggota turut hadir sama menggembleng tenaga menjayakan aktiviti kemasyarakatan ini.

Kehadiran mereka dipimpin langsung Pengarah AMAL Pahang, Asra Asmidas Ishak yang turut menyifatkan jemputan bersama itu sebagai kepercayaan masyarakat khususnya penduduk kepada AMAL.

Sementara itu Ketua Sektor Operasi AMAL Pahang, Halmi Ismail yang mengatur gerak anggota ke gotong-royong ini memberitahu bahawa pihaknya sentiasa terbuka bekerjasama dengan semua pihak.

Terutama jelasnya dalam agenda kebajikan masyarakat, termasuk membantu agensi kerajaan dan swasta atau NGO melibatkan sebarang operasi dan misi yang menuntut tenaga dan kepakaran.

Dalam pada itu, sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh juga, AMAL Pahang sedang berusaha mendapatkan dua enjin bot bagi kegunaan operasi mereka berikutan enjin lama jatuh dalam sungai pada operasi terdahulu.

Sumbangan para dermawan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 06019010070049 atas nama Jabatan Amal Malaysia Negeri Pahang dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Halmi di talian 017-919 6860. – HARAKAHDAILY 18/11/2020

- Advertisement -