‘Sanad’ anti-Ikhwan: Dari Amerika ke mimbar masjid

- Advertisement -

BARU-baru ini kecoh berkenaan penyelarasan isi kandungan khutbah Jumaat di Saudi yang memomokkan kononnya gerakan Ikhwan Muslimin (IM) sebagai kumpulan pengganas dan telah menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar. Jika kita mengikuti pembingkaian propaganda AS ke atas kumpulan-kumpulan Islam khususnya IM, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. 

Sekalipun Wahabi yang sinonim dengan Saudi dan Sufi yang sinonim dengan UAE itu kelihatan bercakaran, namun kedua-dua negara ini sama-sama mendukung dasar politik yang pro AS, sekali gus sama-sama anti gerakan Islam terutamanya IM. Mereka juga sangat menonjol dalam kempen normalisasi Israel yang merupakan antara hasil dari projek besar Deal of The Century.

Buku Erick Stakelbeck

Bagi sesiapa yang mengikuti rapat propaganda-propaganda anjuran kumpulan Kristian Evangelis AS (CUFI), pasti akan mengenali nama Erick Stakelbeck. Beliau merupakan penyampai laman Youtube – The Watchmanyang banyak memuat naik berita-berita pro Zionis khususnya di rantau Asia Barat.

- Advertisement -

Erick Stakelbeck telah menulis buku The Brotherhood: America’s Next Great Enemy pada tahun 2013. Buku ini dilancarkan sejurus selepas tumbangnya Kerajaan Mursi di Mesir. Erick cuba menjelaskan akan bahayanya IM menurut perspektif kepentingan politik AS serta jangkaan-jangkaan potensi gerakan Islam tersebut.

Qutbisme

Selari dengan kajian-kajian serta propaganda AS yang lain, Erick Stakelbeck turut mengangkat nama Said Qutb sebagai ideolog utama IM yang mendorong kepada fahaman Ekstremisme Islam. Keseragaman yang sama kita akan temui dalam kajian badan-badan pemikir AS yang lain, seumpama RAND Corporation.

Apa yang cuba ditanam oleh mereka, bahawa kononnya Said Qutb merupakan individu yang membawa pemikiran berbahaya. Akhirnya akan disamakan dengan fahaman Khawarij dan Takfiri. Kita boleh mencari istilah Qutbism menurut perspektif Barat. Kita akan dapati hampir separuh dari wacana berkenaan pemikiran IM itu, mereka fokuskan kepada ‘jenayah’ pemikiran Said Qutb.

Antara alasan mereka adalah, puak-puak pengganas gemar merujuk tulisan-tulisan Said Qutb. Jika logik ini diteruskan, maka sampai satu masa kita akan disuruh untuk percaya kononnya al-Quranlah yang mendorong manusia untuk menjadi ganas, apabila didapati pengganas turut membaca al-Quran.

Jika melihat sejarah secara lebih teliti, kita akan dapati bahawa karakter Said Qutb cuba dibunuh hingga ke hari ini kerana usaha beliau dalam membongkarkan rancangan jangka masa panjang AS sejak dari tahun 1951. Beliau turut menggemparkan wacana pemikiran Islam dengan artikel Islam Amerikani, yang mengingatkan akan usaha AS menguasai pemikiran dan tanah air umat Islam.

Sememangnya kita tidak memaksumkan Said Qutb. Namun kita perlu berlaku adil dan sedar. Hakikatnya di sebalik sentimen anti Said Qutb itu, ke manakah tujuan yang ingin mereka bawa? Apakah kesimpulan yang cuba mereka rumuskan?

Syiar yang menakutkan

Dalam wawancaranya, Erick Stakelbeck merumuskan bahawa IM adalah dalang kepada segala ideologi keganasan kerana berpegang dengan syiar yang cukup menakutkan.

“Jihad jalan kami, mati syahid cita-cita tertinggi kami”

Erick mendakwa, disebabkan syiar inilah yang memotivasikan aksi-aksi keganasan seumpama serangan berani mati di tempat-tempat awam. Beliau turut menjelaskan bahawa pengaruh IM berada di seluruh dunia.

Tuduhan seperti ini hakikatnya tidak hanya akan mengkambing-hitamkan IM sahaja, bahkan ia akan memangsakan hampir semua gerakan Islam secara pukal termasuk kita di Malaysia. Berapa banyak gerakan-gerakan Islam yang mengambil silibus tarbiyah dari IM seperti Rukun Baiah dan Usul 20.

Bahkan slogan jihad dan mati syahid itu turut dilaungkan oleh ahli-ahli PAS di Malaysia. Maka naratif IM adalah kumpulan pengganas akan turut diseragamkan ke atas kumpulan Islam seperti PAS.

Jika kita telah sebati dengan kajian-kajian propaganda AS, kita akan fahami bagaimana tipikal mereka gemar membesar-besarkan sesuatu tuduhan agar dapat menjustifikasikan bahawa musuh mereka memang benar-benar bahaya dan sangat perlu dihapuskan. Kalau difikirkan secara waras, ajaran jihad dan ganjaran istimewa mati syahid itu sememangnya tanpa selindung ada di dalam ajaran Islam.

Cawangan Ikhwan di Palestin

Selaku penganut Kristian Zionis, sudah pastilah Erick Stakelbeck tidak akan terlepas pandang soal survivalIsrael. Beliau juga antara yang paling aktif memasarkan perkembangan Deal of The Century yang mula diisytiharkan pada 2017.

Kita pun sedia maklum bahawa HAMAS lahir dari rahim IM. Maka dendam pendukung Israel terhadap IM, antara puncanya adalah kerana melahirkan gerakan HAMAS yang menjadi pengancam kepada Israel.

Naratif Islamofobia

Erick berterus terang mengkritik polisi Obama. Dalam isu ini jelas terlihat perbezaan antara Demokrat yang cuba menguasai kumpulan Islam secara halus dan Republikan yang lebih mengambil sikap keras terhadap Islamisme.

Ketika pentadbiran Obama, AS mengambil pendekatan cuba menundukkan kumpulan Islam seumpama IM secara lunak. Ia dilangsungkan dengan engagement melalui NED, USAID, Carnegie, POMED & CSID. Hal ini turut dinyatakan oleh Brookings Institute dalam bukunya berjudul Rethinking Political Islam.

Dari satu sudut yang lain, polisi seperti inilah yang akhirnya berjaya melunturkan pemikiran gerakan Islam serta memunculkan idea Islam Demokrat. Dalam wacana ‘keIkhwanan’, kita akan mengenali kelompok Ikhwan Alami yang muncul melalui pendekatan-pendekatan lunak tajaan Barat seperti yang telah dinyatakan di atas.

Erick mengkritik pendekatan halus Demokrat sedemikian. Baginya ia adalah polisi yang membahayakan AS sendiri. Beliau meneruskan momokan Islamofobia bahawa IM sedang berada di AS. Kataya IM sedang giat menyebarkan kempen pelaksanaan Undang-undang Islam di AS.

Jika kita mengikuti kempen Islamofobia yang berakar dari sikap paranoid mereka sendiri, kita akan merasa pelik mengapa mereka membuat andaian-andaian yang terlalu tidak masuk akal. Hingga mereka mendakwa bahawa serangan 9/11 itu kononnya dilancarkan oleh puak yang berideologi IM untuk membina masjid di atas tapak runtuhan WTC.

Menyambung lidah Zionis

Kita perlu tahu, apakah yang direncanakan oleh pihak Barat dan Zionis. Jika dibandingkan usaha memburukkan IM di pentas-pentas keagamaan, ia tiada beza dengan apa yang diperjuangkan oleh Barat dan Zionis.

Tidak dinafikan, IM juga ada kesilapan yang turut dikritik oleh tokoh-tokoh IM sendiri. Ia adalah normal, selari dengan sifat manusia yang tidak maksum. Cuma kita perlu benar-benar sedar akan ‘sanad pembunuhan karakter IM’ seperti yang telah dijelaskan di atas, sebenarnya agenda siapa.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 18/11/2020

- Advertisement -