Kes jenayah turun 23 peratus sejak pandemik COVID-19

KUALA LUMPUR: Dakwaan kes jenayah di Malaysia meningkat kerana ramai yang kehilangan pekerjaan akibat kesan daripada pandemik COVID-19 tidak berasas kerana statistik menunjukkan penurunan kes sebanyak 23 peratus bagi tempoh 1 Januari sehingga 15 November tahun ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan hari ini melaporkan penurunan kes jenayah sebanyak 16,719 kes, berbanding 72,836 kes dalam tempoh sama tahun lepas. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata ini sekali gus menafikan dakwaan kes jenayah di Malaysia menunjukkan peningkatan disebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19. 

Advertisement

Beliau berkata PDRM mengambil maklum tentang wujudnya kerisauan dalam kalangan masyarakat mengenai kemungkinan berlakunya peningkatan kes jenayah kerana kesan daripada pandemik ini dengan ramai kehilangan pekerjaan.

Masyarakat menjadi gusar apabila wujud berita mengenai trend jenayah ragut di negara ini yang turut tular di media sosial. 
 
“Bagi jenayah ragut, sebanyak 1,160 kes dilaporkan dalam tempoh 1 Januari hingga 15 November tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun 2019 iaitu 2,216 kes dan ini menunjukkan penurunan sebanyak 1,056 kes atau 47.7 (nte: 47.65) peratus.

“Seramai 893 suspek telah berjaya ditangkap kerana terlibat dalam jenayah ragut sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 15 November tahun lepas berbanding 527 suspek dalam tempoh sama tahun ini,” jelasnya. 

Huzir berkata walaupun statistik menunjukkan penurunan kes, PDRM akan sentiasa memastikan trend jenayah terus menurun dengan mengambil tindakan yang lebih komprehensif demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. 

Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membuat, berkongsi atau menularkan sebarang berita atau gambaran salah dan tidak tepat berkenaan trend jenayah atau kes-kes jenayah yang tidak disokong dengan fakta yang sahih daripada pihak berkuasa. 

Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh membangkitkan kegusaran masyarakat malah mampu menimbulkan persepsi yang salah terhadap badan penguat kuasa khususnya PDRM, katanya. – BERNAMA