INSKEN latih 6,089 usahawan

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) telah melatih seramai 6,089 orang usahawan, khususnya buat yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19, melalui program INSKEN Business Coaching (IBC) Wedding Planner, INSKEN Business Training (IBT), dan INSKEN e-BizClinic.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pembiayaan sebanyak RM1,000 hingga RM100,000 disediakan untuk sektor perniagaan melalui Tekun Nasional.

- Advertisement -

“Usahawan boleh memohon untuk mendapatkan pembiayaan di bawah TEKUN Nasional melalui program pembiayaan sedia ada yang ditawarkan.

“Bagi tahun 2020, sehingga bulan Oktober, Tekun Nasional telah menyalurkan pembiayaan kepada seramai 49,901 orang usahawan di seluruh Malaysia, melibatkan nilai pembiayaan sebanyak RM557.3 juta,” katanya.

Wan Junaidi menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni [GPS-Sibuti] yang memintanya menyatakan langkah khusus membantu sektor berkenaan ketika negara dilanda Covid-19 yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya lagi, semenjak penularan Covid-19 serta arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan pada Mac sehingga September 2020, Tekun Nasional telah memberikan kemudahan moratorium kepada usahawan sedia ada.

Manakala usahawan yang masih terjejas selepas tempoh moratorium tersebut boleh memohon untuk mendapatkan pelanjutan tempoh penangguhan bayaran balik tambahan selama 3 bulan (September hingga November 2020) ataupun membuat penjadualan semula bayaran balik bagi meringankan bebanan kewangan.

Bagaimanapun katanya, perkara itu termasuk usahawan daripada industri perniagaan berasaskan perkahwinan. – HARAKAHDAILY 17/11/2020

- Advertisement -