Tingkatkan jelapang padi negara

Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa meningkatkan kadar sara diri (SSL) negara di samping menambah jelapang padi bagi membolehkan bekalan padi negara terus bertambah.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata sehingga hari ini jelapang padi bukan sekadar tidak bertambah, bahkan ada yang mati akibat pembangunan industri sehingga menyebabkan bekalan beras semakin hilang.

- Advertisement -

“Sedangkan negara memerlukan bekalan beras yang baharu untuk mencukupkan keperluan permintaan yang sedia ada dalam negara.

“Justeru, demi masa depan industri padi negara, saya memohon kerajaan perlu melihat apakah usaha untuk menambah tanah-tanah pertanian khususnya jelapang padi yang perlu diperluaskan bagi merancakkan lagi aktiviti penanaman padi di kawasan yang telah ditetapkan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Ahmad Tarmizi, hampir kebanyakan negeri kini sedang menghadapi krisis penyusutan kawasan sawah padi.

Sekiranya tiada kawalan dilakukan, ia boleh mengancam pengeluaran beras yang menjadi sumber utama makanan bagi penduduk Malaysia.

“Ini berikutan kawasan sawah bertukar wajah apabila dibangunkan dengan pelbagai projek infrastruktur komersial ataupun perumahan, sekali gus menjadikan keluasan sawah padi negara semakin mengecil.

“Faktor penawaran harga yang tinggi oleh pemaju selain tidak ada keluarga yang mampu meneruskan tanah pusaka dan faktor tawaran harga lumayan oleh pembeli turut menjadi penyumbang kepada penguncupan kawasan sawah,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/11/2020

- Advertisement -