Penerusan projek CSR penting kepada rakyat Kelantan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman menyambut baik penerusan projek Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dan memohon supaya kerajaan mempercepatkan pembinaannya.

Katanya, penerusan projek CSR ini adalah sangat penting kepada rakyat Kelantan khususnya Kuala Krai.

Advertisement

“Harapan rakyat Kelantan agar penerusan ini di sertakan dengan mempercepatkan pembinaannya, khususnya laluan Machang-Kuala Krai dan Kuala Krai-Gua Musang.

“Saya menaruh keyakinan yang tinggi CSR ini akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan dan mempercepatkan aliran trafik terutama musim perayaan malah semestinya projek ini bakal meledakkan serta memacu dan merancakkan ekonomi kepada Kelantan,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam masa yang sama, Ustaz Abdul Latiff mencadangkan supaya kerajaan membangunkan Pekan Dabong dengan beberapa penambahbaikan kepada kawasan pelancongan yang sedia ada bagi merancakkan lagi pelancongan domestik.

Sementara itu, beliau turut menyokong usaha kerajaan bagi mempertahankan pekerja sektor pelancongan yang terjejas teruk apabila memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion bagi melanjutkan pelaksanaan program subsidi upah yang melibatkan hampir 900,000 pekerja.

“Semoga bantuan ini dapat memanjangkan hayat sektor yang terjejas,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 16/11/2020