RM10 juta bantu rakyat gelombang ketiga

Ustaz Ahmad Marzuk menyampaikan sumbangan menerusi Tabung Musa'adah - Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Agensi di bawah porfolio Hal Ehwal Agama memerlukan dana RM10 juta untuk diagihkan kepada rakyat yang terkesan dengan Covid-19 gelombang ketiga.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary, berkata peruntukan itu begitu tinggi berbanding gelombang pertama dan kedua Covid-19.

- Advertisement -

Menurutnya, perbelanjaan untuk gelombang ketiga begitu besar jika dibandingkan gelombang pertama dan kedua sebanyak RM7 juta.

Peruntukan berkenaan diberikan kepada mereka yang benar-benar terkesan dengan Covid-19 untuk menampung keperluan ekonomi mereka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis gotong-royong membersih Tanah Perkuburan Cabang Tiga Signal, di sini semalam.

Program berkenaan diadakan sempena Bulan Dakwah Yadim 2020 yang bertemakan Kami Peduli.

Turut hadir, Adun Kijang Dr Izani Husin, Penghulu Tanpa Mukim Dun Kijang, Abdul Malik Mohd Nor dan pegawai dari AADK dan Yadim.

Untuk itu, katanya wakil-wakil agensi portfolio agama dijemput bersama berbincang bagi mendapatkan dana untuk menjayakan hasrat itu.

“Antara agensi-agensi yang terlibat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Waqaf Malaysia, Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), YaPEIM, Yayasan Taqwa dan lain-lain,” ujarnya.

Menurutnya, agensi terbabit bertanggungjawab mencari dana dan ada yang turun padang menyantuni masyarakat menerusi Tabung Musa’adah Covid-19.

Katanya, memandangkan penularan Covid-19 merebak di seluruh negara, pihaknya memerlukan peruntukan agak besar untuk membantu masyarakat. – HARAKAHDAILY 15/11/2020

- Advertisement -