Syarikat kosmetik nafi ada kaitan Datuk Seri

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Syarikat kosmetik EY Beauty Empire Sdn Bhd menafikan syarikat itu mempunyai kaitan dengan seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang ditahan berkaitan kes dadah bernilai RM5 juta di Shah Alam tiga hari lalu.

Pengarahnya, Zalina Zahari turut mengesahkan lelaki berkenaan bukan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat terbabit seperti mana ditularkan di media sosial sejak dua hari lalu.

- Advertisement -

“EY Beauty Empire dimiliki oleh saya secara berseorangan, diasaskan menggunakan modal saya sendiri, tiada rakan kongsi dan beroperasi sejak Jun lalu.

“Penglibatan individu bergelar Datuk Seri itu adalah untuk promosi dan pelancaran produk semata-mata.

“Malah dia langsung tiada pemilikan bersama mahupun bidang perniagaan syarikat saya,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar yang diadakan di Habib Jewels di sini semalam.

Zalina berkata, sepanjang berurusan dengan individu berkenaan, beliau hanya dimaklumkan lelaki itu menjalankan perniagaan kontraktor pembinaan, perniagaan balak dan kayu gaharu.

“Tiada dalam pengetahuan saya berhubung penglibatan beliau dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang sehingga ia dilaporkan dalam berita semalam.

“Saya sebagai pengarah syarikat terpanggil untuk menjelaskan kepada umum dan menafikan segala kaitan syarikat saya dengan aktiviti pengedaran dadah sebagaimana disebut-sebut di media sosial sejak semalam,” katanya.

Beliau berkata, EY Beauty Empire masih kekal menjalankan perniagaan berasaskan kosmetik dan minuman.

Tambahnya, pihaknya tidak sesekali menyokong mana-mana individu yang menjalankan aktiviti bertentangan dengan undang-undang.

Sehubungan itu beliau menyeru warga maya, pengguna Facebook, Instagram dan media sosial lain untuk berhenti mengaitkan EY Beauty Empire dengan kegiatan dadah dan apa juga perkara menyalahi undang-undang.

Beliau turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Bharu di sini berhubung perkara berkenaan. – HARAKAHDAILY 15/11/2020

- Advertisement -