Belajarlah daripada kejatuhan partai Golkar

Suharto - Foto /gahetna
- Advertisement -

PARTAI Golongan Karya (Golkar) bukanlah suatu nama asing bagi rakyat Indonesia terutamanya bagi golongan tua dan pendukung kuat rejim Orde Baru yang berpaksi kepada kekuatan ‘bapak Suharto’ iaitu Presiden kedua Republik Indonesia.

Golkar merupakan sebuah parti politik yang terbesar di Indonesia dari segi keanggotaan. Ia bermula dengan kebangkitan Sekber Golkar oleh Tentera Nasional-Angkatan Darat pada akhir pemerintahan Presiden Sukarno untuk menandingi Partai Komunis Indonesia (PKI) di arena politik Indonesia. Parti keramat ini diasaskan pada 20 Oktober 1964 oleh Let. Kol. Suhardiman dengan menggabungkan berbagai-bagai organisasi pemuda, wanita, buruh, petani dan nelayan. Pada tahun 1971 Sekber Golkar mengikuti pilihan raya umum (Pemilu) dengan memakai nama Golongan Karya atau Golkar.

- Advertisement -

Parti yang sinonim dengan warna kuning dan pohon beringin rendang ini telah menyertai pilihan raya pada tahun 1971 di bawah kepimpinan Orde Baru Presiden Suharto dan muncul sebagai pemenang. Kemenangan ini diulangi dalam pilihan raya tahun 1977, 1982, 1987, 1992 dan terakhir pada tahun 1997. Kemenangan bergaya Golkar ini adalah disebabkan oleh beberapa polisi dan peraturan yang dibuat oleh Presiden Suharto dalam pentadbirannya termasuk peraturan ‘Monoloyalitas Pegawai Negeri Sivil’ (PNS) atau kakitangan kerajaan kepada beliau dan Golkar.

Di akhir pemerintahan Suharto dan semasa era reformasi mula mengambil tempat, Golkar menukar namanya sekali lagi menjadi ‘Partai Golkar’.

Golkar menang bergaya pada Pemilu tahun 1971 dengan mendapat undi popular sebanyak 62.80 peratus dan menguasai 236 daripada 360 kerusi Parlimen (DPR). Penguasaan ini berterusan dengan meraih undi popular kekal di antara 64-74 peratus. Sementara kerusi DPR dikuasai oleh Golkar melebihi dua per tiga daripada jumlah keseluruhan kerusi yang ada.

Walau bagaimanapun, kekuatan Golkar ini beransur pudar atau dalam bahasa Indonesia sudah mula hilang ‘nyalinya’ bermula pada tahun 1998 ketika gerakan reformasi mula mengambil tempat di hati golongan muda dan pelajar-pelajar universiti.

Walaupun Golkar menang besar pada Pemilu tahun 1997 dengan mendapat 74.51 peratus suara serta menguasai 325 daripada 400 kerusi MPR, tetapi pada Pemilu seterusnya iaitu pada tahun 1999, prestasi gemilang Golkar sebelum ini merudum dengan hanya memperoleh 22.46 peratus suara atau 120 kerusi sahaja daripada 500 kerusi DPR. Pada Pemilu tahun 2019 Golkar hanya mampu meraih sekitar 12.31 peratus suara serta 85 kerusi DPR sahaja daripada jumlah kerusi sebanyak 575.

Daripada sebuah jagoh dan kuasa besar politik Golkar hari ini tidak mampu untuk berdikari membina negara melalui kekuatan monopoli parti tersebut. Ada kalanya Golkar hanya sekadar menjadi pemerhati politik dan terpaksa mengadakan koalisi bersama parti lain untuk membolehkan mereka kekal di dalam kerajaan yang memerintah. Peranan mereka dalam menentukan corak pemerintahan dan membentuk hala tuju negara sangat tidak signifikan malahan tenggelam dalam arus perdana politik Indonesia yang hari ini dikuasai oleh PDI-P, Demokrat dan lain-lain parti termasuk parti yang berasaskan Islam PKS.

Mengapa prestasi Golkar merudum?

Di zaman Orde Baru Presiden Suharto yang memerintah Indonesia selama 32 tahun, segala kuasa pemerintahan iaitu legislatif, kehakiman, ekselutif, ekonomi dan lainnya berpusat di tangan beliau sahaja. Suharto gagal melakukan pengkaderan untuk melahirkan barisan pimpinan yang boleh menggantikan beliau. Setelah era pemerintahan beliau tamat, berlakulah perebutan kuasa dalam kalangan anggota tertinggi Golkar yang akhirnya membawa kepada perpecahan serta tertubuhnya berbagai-bagai parti lain seperti Nasional Demokrat (Nasdem ), Hanura, Gerindra, MKGR, PKPI dan PKPB.

Reformasi politik yang dilakukan beliau dengan hanya membenarkan tiga buah parti sahaja yang boleh mengikuti Pemilu iaitu Golkar, PDIP dan PPP serta mewajibkan semua kakitangan kerajaan untuk memberikan kesetiaan kepada Golkar telah menutup pintu demokrasi dan kebebasan bersuara dalam kalangan rakyat. Semua media arus perdana sama ada media cetak dan media elektronik adalah di bawah kawalan orang-orang kepercayaan Suharto.

Pemusatan kuasa ekonomi selama 32 tahun melahirkan jutawan dan hartawan yang berada di sekeliling Presiden dan pasukan elitnya. Budaya kronisme, nepotisme dan pilih kasih telah menjerumuskan Golkar dengan amalan korupsi di luar kawalan. Kekayaan ekonomi Indonesia daripada sumber alam tidak dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh rakyat secara keseluruhannya. Sehinggakan Undang-Undang Dasar (UUD) dijadikan bahan lawak di kalangan rakyat bawahan dengan menyebut ‘Ujung-Ujung Duit’ dan ‘Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) sebagai ‘Kasi Uang (duit) Habis Perkara”. Maka benarlah pepatah Inggeris menyebut more power more corrupt, absolute power absolute corrupt.

Rakyat Indonesia mahukan reformasi politik dan ekonomi. Kemunculan Susilo Bambang Yudhoyona di pentas politik Indonesia bersama parti Demokrat telah memberi nafas baharu kepada reformasi politik Indonesia. Susilo telah memperkenalkan konsep Unity Government dan kerajaan teknokrat dengan mengambil beberapa figura parti lawan untuk menjadi Menteri Kabinet serta tokoh profesional untuk bersama membangunkan negara Indonesia. Ini sedikit sebanyak telah mematikan langkah Golkar.

Kebanyakan penyokong tegar Golkar adalah kalangan golongan warga tua yang tinggal di kampung-kampung pedalaman dan bekas kakitangan kerajaan peringkat tinggi yang pernah bertugas di zaman Order Baru Suharto. Sedangkan golongan muda dan generasi baharu bersikap lebih terbuka dan cenderung kepada sistem politik yang lebih bebas, demokratik dan bebas daripada amalan rasuah, kronisme dan nepotisme.

Sementara golongan muda yang terpelajar lebih cenderung kepada politik yang berteraskan kepada keadilan, saksama, bebas rasuah serta berteraskan kepada akar Islam iaitu Al-Quran dan Sunnah. Oleh itu tidak hairanlah apabila Partai Keadilan Sejahtera (PKS) mula mengambil ruang besar dalam politik Indonesia hari ini.

Daripada beberapa fakta yang diutarakan di atas, dapat disimpulkan bahawa kejatuhan Golkar adalah disebabkan oleh pemusatan kuasa yang akhirnya menjadikan amalan rasuah, kronisme dan nepotisme menjadi budaya dalam pemerintahan.

Perebutan kuasa dan kegagalan Golkar melahirkan barisan pemimpin bersih, berwibawa dan berintegriti menyebabkan berlakunya perpecahan besar Golkar sehingga melahirkan enam buah parti politik lain.

Kekuatan dan pengaruh media sosial dalam membentuk minda rakyat gagal difahami dengan baik. Media-media inilah yang mengangkat atau menjatuhkan sesebuah parti atau individu dari dalam gelanggang politik.

Sistem politik yang lebih terbuka yang diperkenalkan selepas tamatnya era Orde Baru menyebabkan maklumat dan minda rakyat menjadi semakin matang dan terdidik.

Sekiranya Golkar ingin kembali di persada politik Indonesia, mereka harus melakukan reformasi total dari segi prinsip dan sistem, budaya dan strategi serta membuang jauh budaya lama yang terpalit dengan amalan-amalan yang dibenci dan ditolak oleh generasi baharu yang terdidik dengan sistem demokrasi melalui media-media baharu. Jika tidak, secara perlahan-lahan Golkar akan menjadi parti politik yang sudah tidak relevan di zaman informasi di hujung jari dan akan hilang dari pentas politik Indonesia.

Oleh itu amat penting bagi parti-parti politik di Malaysia yang sudah bertapak sekian lama di persada politik tanah air mengambil pelajaran daripada apa yang menimpa Partai Golkar di Indonesia supaya parti-parti ini kekal relevan dan menjadi pilihan terbaik khususnya kepada anak muda dan generasi baru.

Gila kuasa, politik adu domba mengutamakan diri sendiri dan kroni berbanding rakyat merupakan budaya politik yang sudah tidak relevan dan ditolak oleh anak muda dan generasi baru. ‘Warlord‘ politik harus direhatkan dengan memberikan peluang kepada muka baharu yang lebih bersih, berwibawa dan berintegriti.

BAKRI JAMALUDDIN
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 15/11/2020

- Advertisement -