Kawasan bebas berniaga: Inisiatif kerajaan untuk rakyat

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS Kedah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor yang telah mengumumkan Kawasan Bebas Berniaga baru-baru ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ustaz Ahmad Yahaya berkata, pengumuman itu secara tidak langsung memberi manfaat secara kecil-kecilan kepada rakyat untuk meningkatkan pendapatan isi rumah yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara sekarang ini.

- Advertisement -

“Inisiatif ini tepat pada masanya terutama yang inginkan pertolongan serta bantuan segera.

“PAS Kedah percaya dan yakin usaha ini merupakan salah satu daripada pelbagai lagi gerak kerja yang dirancang dalam memberi kesejahteraan kepada rakyat sebagaimana slogan Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua,” ujar Ahli Dewan Negara itu.

Walau bagaimanapun diharapkan, semua peniaga yang terlibat dapat mematuhi segala peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan agar ia berjalan dengan lancar.

“Kepada para peniaga jaga kebersihan, jaga SOP dan peraturan, mohon permit dan jaga kualiti makanan,” nasihatnya.

Semalam, Menteri Besar telah mengumumkan Kawasan Bebas Berniaga di beberapa daerah, antaranya Alor Setar, Kubang Pasu, Kulim, Langkawi dan Sungai Petani kepada penjaja dan peniaga statik kecil-kecilan dengan permit sementara RM10 sebulan. – HARAKAHDAILY 14/11/2020

- Advertisement -