Kepentingan dan survival hidup rakyat diutamakan

- Advertisement -

SETELAH berjaya mencatatkan kes positif COVID-19 dengan hanya satu angka selama tiga bulan berturut-turut bermula Jun lepas, kini Malaysia kembali mencatat tiga angka sehingga menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak lebih dari 30 ribu kes. 

Walaupun sekatan hanya dilaksanakan di sesetengah tempat, gelombang ketiga pada kali ini memberikan cabaran yang luar biasa kepada kebanyakan rakyat yang terjejas pendapatan dan dibuang kerja kerana tempoh pemulihan ekonomi dari gelombang pertama dan kedua masih belum dicapai sepenuhnya. 

Kadar pengangguran yang menurun sejak Jun yang lalu dari 5.3 peratus kepada 4.7 peratus pada September adalah suatu berita gembira di dalam kesedihan. Hal ini kerana penurunan penganggur adalah sebanyak 28,000 orang, namun jumlah rakyat yang menganggur masih tinggi iaitu 745,100. 

- Advertisement -

Terbaharu, kita dikejutkan dengan pemberhentian seramai 2,200 orang pekerja di Syarikat Penerbangan Malindo ekoran syarikat tersebut yang terjejas akibat pandemik. Selain itu, kebenaran bagi pengeluaran simpanan dari Akaun 1 KWSP disokong ramai pihak kerana rata-rata dari mereka memerlukan duit di tangan bagi meneruskan kehidupan.

Justeru, Bajet 2021 menang wajar menjadi Bajet Pengembangan (Expansionary Budget) yang kebiasaannya diaplikasikan ketika sesebuah negara mengalami kejatuhan ekonomi. Bajet Pengembangan adalah kaedah Kerajaan membesarkan penawaran wang di dalam kitaran ekonomi sama ada dengan meningkatkan perbelanjaan atau pemotongan cukai, yang bertujuan untuk memberikan lebih banyak wang untuk dibelanjakan oleh rakyat dan perniagaan. 

Bagaimana kaedah tersebut ingin dipraktikkan terserah kepada kebijaksanaan Kementerian Kewangan dan seluruh Kabinet Kerajaan Malaysia sama ada meningkatkan pemberian wang secara tunai melalui BPN, eDompet dan sebagainya, atau inisiatif cukai-cukai tertentu serta lanjutan moratorium sewa dan pinjaman. Keutamaan Kerajaan adalah memastikan rakyat mampu untuk meneruskan kehidupan mereka.

Seterusnya, dalam mengagihkan pelbagai bantuan dan inisiatif yang dirancang, proses penyampaian dan pemantauan sangat diperlukan supaya setiap bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang selayaknya. Oleh itu, kaedah pemantauan seperti Laporan Laksana dan pengagihan bantuan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa dalam memastikan kuasa beli rakyat kembali stabil dan meningkat seterusnya memberikan kesan positif kepada Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Di akhirnya, saya amat mengharapkan agar Kerajaan dapat membantu rakyat Malaysia secara lebih efisyen dan berkesan dalam menghadapi ujian pandemik COVID-19 yang datang dari pelbagai aspek kehidupan. Kita doakan juga semoga wabak ini dimusnahkan dan dihilangkan oleh Allah S.W.T. 

Sekian, terima kasih.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

HAJI WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 13/11/2020

- Advertisement -