ABPBH ketika PKPB perlu dibatalkan

- Advertisement -

DEWAN Ulama PAS Pusat (DUPP) menggesa kepada pihak kerajaan menerusi mana-mana kementerian terlibat dalam bidang kuasa yang memberikan kelulusan kepada penganjuran program hiburan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada malam ini untuk membatalkan program ini bagi menghormati sensitiviti umum majoriti rakyat kalangan umat Islam di negara ini.

- Advertisement -

Sekalipun penganjuran tersebut dijalankan di bawah SOP yang dikawal ketat namun penganjuran ABPBH itu sendiri tidak bersesuaian dengan isi hiburan yang kontroversi dari perspektif syariat Islam apatah lagi jika penganjuran ini diteruskan di kala rakyat dan negara sedang diuji dengan wabak pandemik yang sewajarnya tempoh sekarang diisi dengan pengisian yang mendekatkan diri kepada Allah, bukannya sesuatu yang mengheret jauh dari Allah.

Islam bukanlah menolak hiburan namun hiburan yang dianjurkan mestilah sesuatu yang mendidik dan membangunkan minda dan nilai hidup ke arah kebaikan, bukannya sesuatu yang lalai dan sia-sia. Apa yang ingin ditekankan ialah kesesuaian isi kandungan sesuatu hiburan mestilah bersesuaian dengan syariat dan tempoh masa dijalankan.

DUPP menggesa agar wujudnya usaha yang serius dalam memperkasakan penguatkuasaan garis panduan hiburan yang sedia ada di peringkat JAKIM menerusi terbitan garis panduan hiburan dalam Islam edisi kedua terbitan tahun 2014 yang mengemaskini dan menggantikan edisi pertama pada tahun 2007. Dalam masa yang sama, garis panduan tersebut juga perlu dibaca bersama dengan :

  • Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam;
  • Garis Panduan Penapisan Bahan-Bahan Penerbitan Berunsur Islam; dan
  • Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung dengan Unsur-unsur yang Bercanggah dengan Akidah dan Amalan Ahli Sunnah wal Jamaah.

DUPP juga menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan kementerian yang terlibat dan pihak penganjur jika dijemput dalam pertempuan atau meja rundingan bagi berbincang dalam mengemukakan cadangan pelaksanaan sesuatu garis panduan yang lebih baik isi kandungannya serta membawa manfaat dari sudut minda, moral dan pembangunan insan bagi kesejahteraan rakyat dan negara.

Sekian.

Firman Allah SWT :

(وَٱلۡعَصۡرِ ۝  إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِی خُسۡرٍ ۝  إِلَّا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡا۟ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡا۟ بِٱلصَّبۡرِ)

Maksudnya :
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. – [Surah Al-Asr 1 – 3]

Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 13/11 /2020

- Advertisement -