TEKUN tekad bantu peniaga PKS, usahawan

- Advertisement -

TEKUN Nasional (TEKUN) akan terus komited membantu para usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam menyediakan pelbagai bentuk bantuan pembiayaan bagi membangunkan perniagaan mereka yang terjejas disebabkan oleh pandemik COVID-19. 

Peruntukan yang disalurkan melalui Bajet 2021 ini adalah antara yang terbesar di mana sebanyak RM510 juta khusus kepada TEKUN dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Sebelum ini, kerajaan ada menyalurkan peruntukan RM200 juta melalui Dana Prihatin bagi Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) manakala RM100 juta melalui Dana Penjana bagi Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS). Begitu juga, TEKUN Mobilepreneur 1.0 dan 2.0 bagi membantu golongan yang terlibat dengan aktiviti ekonomi Gig untuk membaik pulih dan membeli kenderaan baharu.

- Advertisement -

Kesemua bantuan tersebut telah disalurkan ketika pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat Prihatin (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Oleh itu, pengumuman kerajaan bagi menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada Tekun bagi tahun 2021 menunjukkan kerajaan memberi keprihatinan yang konsisten kepada golongan usahawan dan PKS yang mengalami kemerosotan perniagaan akibat penguatkuasaan PKP.

Tambahan lagi, dalam usaha membantu golongan usahawan wanita, peruntukan pembiayaan berbentuk mikro kredit turut disalurkan kepada TEKUN Nasional, MARA dan Agrobank dengan jumlah RM95 juta. Usaha ini membuktikan keseriusan kerajaan membantu mereka dalam menjalankan perniagaan serta suatu bentuk pakej survival jangka masa sederhana dan panjang.

Peruntukan sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI ). Selain itu dua skim baru diwujudkan iaitu RM5 juta untuk masyarakat Orang Asli dan Siam manakala RM20 juta untuk TEKUN Sukan turut disalurkan bagi memastikan kelangsungan operator fasiliti sukan.

Justeru, sebagai Pengerusi TEKUN Nasional, saya akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan peruntukan yang besar ini dapat dimanfaatkan kepada rakyat sepenuhnya terutamanya kepada para usahawan dan PKS di negara ini. 

“Islam Memperkukuh Perpaduan” 

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Pengerusi TEKUN Nasional merangkap Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 10/11/2020

- Advertisement -