Merenung masa depan Sungai Bernam

SUNGAI Bernam adalah sungai yang memisahkan antara Negeri Perak dan Selangor. Mengikut cerita dahulu kala, Sungai Bernam ini namanya diambil sempena enam orang sahabat yang telah memudiki sungai ini dari kualanya sehingga ke hulu. Sahabat itu terdiri dari lima lelaki dan seorang perempuan. Perkataan ‘bernam’ berasal dari ‘berenam’.

Sememangnya Sungai Bernam ini begitu kaya dengan sejarah. Di sungai ini telah ditemui artifak-artifak purba dikatakan peninggalan sebuah kerajaan yang pernah bertapak di sekitar sungai ini. Pada zaman penjajahan Inggeris pun ada peristiwa-peristiwa bersejarah di sekitarnya seperti pertukaran nama Tanjung Jambu kepada Tanjung Malim.

Advertisement

Lebih 30 tahun dahulu Sungai Bernam melimpahkan khazanah semula jadi yang lumayan kepada manusia yang mendiami sepanjang jajaran sungai ini. Ia menjadi sumber rezeki kepada nelayan darat untuk memperolehi ikan air tawar pelbagai jenis sehingga kawasan ini terkenal dengan pasaran ikan air tawar. Sungai ini juga sejak dahulu menjadi sumber air minuman.

Sewaktu saya masih kecil, saya selalu mengikuti ayahanda menjala di persisiran sungai ini selepas waktu Maghrib terutama ketika hari bulan terang. Pelbagai jenis ikan diperolehi termasuk udang galah. Semasa zaman kanak-kanak juga, sungai inilah tempat kami ‘berekreasi’, belajar berenang dan menyelam. Ketika itu, air Sungai Bernam ini begitu jernih dan bersih.

Hari ini, air sungai ini sudah tercemar terutama di bahagian hilir bandar Tanjung Malim. Sumber semulajadi yang dilimpahkan oleh sungai ini juga semakin pupus. Tinggal beberapa kilometer di bahagian hulu bandar, kualiti air sungai ini masih dalam kelas 1 atau 2 sehingga boleh diminum tanpa dirawat. Di kawasan inilah terdapatnya chalet-chalet untuk menikmati kehidupan semulajadi.

Mutakhir ini kawasan di bahagian hulu bandar Tanjung Malim inipun sudah mula dicemari. Kewujudan taman-taman perumahan yang menyalur sisa kumbahan ke sungai ini telah menurunkan kualiti airnya. Sewaktu fasa pembinaan perumahan, apabila hujan sahaja, sungai menjadi begitu keruh umpama ‘teh susu’ sehingga boleh menjejaskan legasi eko-pelancongan kawasan ini.

Saya telah turun ke kawasan ini pada bulan Mei yang lalu, berikutan aduan daripada penduduk setempat dan pengusaha chalet yang bimbang dengan pencemaran sungai ini. Selepas itu, beberapa kali pula saya turun untuk mengikuti perkembangan tindakan-tindakan yang dijanjikan diambil oleh agensi-agensi yang berkaitan untuk mencegah pencemaran dari berlaku.

Selain daripada itu, saya juga telah bertemu dengan seorang pegawai di Majlis Daerah Tanjung Malim untuk mengetahui apa sebenarnya masalah yang dihadapi oleh mereka sehingga perancangan awal PBT ini untuk menjadikan kawasan hulu Sungai Bernam ini sebagai hub eko-pelancongan mula tergendala. Memang jelas merekapun pasrah kepada kerakusan pembangunan.

Pada 3 Julai tahun ini, saya telah turun berbincang dengan Exco Kerajaan Negeri Perak berkaitan dengan kes ini, dan beliau sememangnya sangat responsif untuk menyelesaikan masalah hulu Sungai Bernam. Beliau sendiri telah melakukan kunjungan balas berbincang dengan YB Menteri Alam sekitar dan Air mencari penyelesaian kes pencemaran ini.

Menjadi matlamat kita, kualiti air di hulu Sungai Bernam yang pada ketika ini di dalam kelas 1 dan 2 mesti dikekalkan. Semua pihak yang terlibat dengan sungai ini seperti JPS, JAS, Majlis Daerah Tanjung Malim dan juga pemaju mestilah meletakkan sasaran kualiti air sungai ini dikekalkan atau meningkatkan lagi kualitinya. Bila ada matlamat ini barulah Sungai Bernam terpelihara.

Sungai Bernam sehingga hari ini masih menjadi sumber air bersih untuk penduduk kawasan sekitar khususnya di sebelah Negeri Selangor. Di bahagian hilir bandar Tanjung Malim ini ada tiga Loji Rawatan Air (LRA) untuk merawat air sungai ini bagi disalurkan untuk bekalan air bersih. Masih ada lagi nelayan-nelayan darat yang bergantung rezeki kepada sungai ini.

Kes pencemaran Sungai Bernam ini umpama bom jangka yang boleh meletup apabila sampai masanya. Pertambahan kegiatan penternakan ayam di Kampung Kelawar, Perak dan Kalumpang, Selangor yang juga menyalurkan kumbahannya ke sungai ini, boleh menyebabkan LRA ini tergendala seperti yang berlaku di Lembah Kelang baru-baru ini.

Pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Daerah Tanjung Malim dan Majlis Daerah Hulu Selangor, serta lain-lain agensi mestilah berganding bahu untuk mematikan bom jangka ini. Pihak pemaju, industri dan penternak mestilah dihalang daripada sewenang-wenangnya menyalurkan kumbahan mereka ke sungai ini. KASA akan terus memantau situasi ini secara dekat.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Setiausaha Politik Kepada Menteri Alam Sekitar dan Air – HARAKAHDAILY 10/11/2020