Belanjawan tepati prinsip dharuriyyatul-khams – Prof Dr Azman

- Advertisement -

MASJID TANAH: Pensyarah Universiti Kuala Lumpur, Prof Dr Azman Yusof menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan di Dewan Rakyat baru-baru ini sebagai menepati konsep dharuriyyatul-khams.

Menurut beliau ia bertepatan dengan pemeliharaan terhadap maslahah manusia yang terangkum dalam lima keperluan penting yang mestinya dijaga oleh umat Islam iaitu penjagaan terhadap addin (agama), jiwa, keturunan, akal, dan harta.

- Advertisement -

“Menurut Dr Wahbah al Zuhaily, dharuriyyatul-khams ini adalah maslahat yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia sama ada dari sudut keagamaan mahupun keduniaan. Apabila ia hilang, maka kehidupan dunia akan cacat, kerosakan akan menyebar luas dan kebahagiaan abadi (di akhirat) akan hilang,” ujar beliau.

Kata Azman, Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini oleh Menteri Kewangan Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz bukan sahaja sarat dengan keprihatinan sehingga mampu menarik nafas lega rakyat terutamanya golongan B40 tetapi juga menepati dengan prinsip ini yang bertujuan mengamankan kehidupan manusia di dunia ini.

“Peruntukan sebanyak RM322.54 bilion iaitu 25.54 bilion lebih tinggi daripada belanjawan tahun lepas dianggap oleh ramai pengulas ekonomi sebagai belanjawan yang menyeluruh dan menepati situasi negara yang sedang menghadapi pandemik Covid-19.

“Daripada jumlah belanjawan tersebut, sebanyak RM11.69 bilion diperuntukan kepada Jabatan Perdana Menteri yang mana salah satu portfolionya adalah Hal Ehwal Agama Islam.

“Malahan, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Senator Dato’ Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri ketika menjawab pertanyaan di media sosial telah menegaskan bahawa pada tahun ini sahaja peruntukan keseluruhan hal ehwal Islam adalah RM1.4 bilion iaitu lebih banyak berbanding daripada tahun lalu ketika (zaman pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan),” ujar beliau.

Tegas Azman, ternyata di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), pemeliharaan terhadap syiar dan kesucian agama (Hifz al-Din) sentiasa dijaga dan diperkasakan menerusi peruntukan yang besar dalam belanjawan negara baru-baru ini.

“Keutamaan kedua selepas pemeliharaan agama ialah menjaga nyawa atau jiwa. Kesucian agama akan tergugat dan syiarnya tidak dapat ditegakkan jika jiwa-jiwa yang hendak menegakkannya lemah sama ada dari segi fizikal; kerana disebabkan penyakit, atau ekonomi; kerana hilang pekerjaan dan sebagainya.

“Lebih-lebih lagi pada musim pandemik Covid-19, rakyat bukan sahaja dihantui jangkitan penyakit ini yang belum ditemui penawarnya lagi bahkan sumber pendapatan mereka juga turut terjejas,” ujar Azman.

Tambah beliau lagi, peruntukan sebanyak RM31.94 bilion kepada Kementerian Kesihatan bagi meningkatkan lagi kemudahan prasarana kesihatan seperti hospital, klinik, bekalan perubatan, peralatan dan sebagainya adalah manifestasi kepada kesungguhan kerajaan PN dalam memenuhi tuntutan dharuriyyatul-khams yang kedua iaitu memelihara nyawa.

Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sangat komprehensif terutamanya kepada golongan B40, menurut Azman, sememangnya selari dengan tuntutan dharuriyyatul-khams dalam banyak aspek termasuk memelihara keluarga atau keturunan, yang mana jumlah keseluruhannya adalah sebanyak RM2.2 bilion dengan manfaat kepada 400,000 penerima.

“Antaranya ialah isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 diberi antara RM1,200 hingga RM1,800 bergantung kepada bilangan anak. Isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM4,000 pula terima antara RM800 hingga RM1,200 bergantung kepada bilangan anak.

“Isi rumah berpendapatan antara RM4,001 hingga RM50,000 terima antara RM500 hingga RM750 bergantung kepada bilangan anak dan orang bujang berusia 21 tahun ke bawah yang berpendapatan RM2,500 ke bawah akan terima RM350,” tambah Azman lagi.

Selain itu, kata Azman, banyak lagi bantuan-bantuan lain yang diperuntukkan sama ada secara langsung atau pun secara tidak langsung telah dapat membantu rakyat meringankan beban sara hidup yang semakin meningkat seperti elaun sara hidup nelayan naik daripada RM250 kepada RM300, pengecualian cukai sehingga RM8,000 untuk rawatan penyakit serius, dan lain-lain lagi.

Ulasnya aspek dharuriyyatul-khams yang seterusnya ialah memelihara akal atau minda di mana dalam hal ini kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50.36 bilion kepada Kementerian Pendidikan dan RM14.40 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dalam semua peringkat berjalan dengan lancar dan berada pada aras yang tinggi.

“Selain itu, pelbagai bentuk bantuan lain yang diberikan terus kepada golongan sasar, antaranya seperti kredit e-dompet sekali beri bernilai RM150 untuk remaja berusia 18 hingga 20 tahun, pas perjalanan bulanan tanpa had berharga RM5 untuk pelajar dan OKU dan lain-lain.

“Pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia telah menjejaskan banyak sektor ekonomi negara. Kesuraman ekonomi ini jika tidak ditangani dengan baik akan mendedahkan negara kepada bencana sosial yang lebih buruk. Sebab itulah ulamak menyenaraikan dharuriyyatul-khams yang kelima ialah pemeliharaan harta. Hal ini kerana manusia memerlukan harta untuk mengatur kehidupan yang lebih baik.

“Belanjawan kali ini dengan jumlah peruntukan terbesar dalam sejarah belanjawan negara boleh dianggap tepat pada masanya dan dijangka mampu merangsang ekonomi dengan pelbagai pakej yang menarik.

“Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Menteri Kewangan Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul yang berkata pada tahun 2021, ekonomi negara dijangka kembali pulih dan berkembang pada kadar antara 6.5 hingga 7.5 peratus. Ini sejajar dengan langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi, inisiatif Belanjawan 2021 selain disokong oleh pertumbuhan ekonomi global yang diunjur lebih baik iaitu sebanyak 5.2 peratus,” kata beliau memetik ucapan Menteri Kewangan.

Walau bagaimanapun katanya ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi lagi dari segi pelaksanaannya, umpamanya pencarum KWSP dibenarkan untuk mengeluarkan caruman Akaun 1 sebanyak RM500 sebulan untuk 12 bulan mulai Januari tahun hadapan dilihat agak tidak praktikal.

Ini menurut Azman, golongan M40 yang terjejas tetapi tidak mendapat banyak manfaat daripada belanjawan tersebut berbanding B40 sudah tentu mengharapkan simpanan KWSP sebagai jalan keluar daripada masalah kewangan yang sedang dihadapi.

“Oleh itu, dilihat lebih praktikal jika jumlah dibenar untuk dikeluarkan caruman iaitu dari segi minimum dan maksimum adalah mengikut peratusan berdasarkan jumlah simpanan.

“Apa yang disebutkan di atas adalah sebahagian daripada peruntukan yang diumumkan. Namun, dapatlah dirumuskan bahawa secara keseluruhannya belanjawan 2021 adalah belanjawan yang paling komprehensif dan ianya seiring dengan prinsip dharuriyyatul-khams dengan mengambilkira keadaan negara pada masa kini,” kata beliau mengakhiri temuramah bersama Harakahdaily. – HARAKAHDAILY 10/11/2020

- Advertisement -