UMANY: Api dalam sekam terhadap kerukunan rakyat

- Advertisement -

GAMIS mengikuti rapat perkembangan isu kebiadaban UMANY terhadap YDPA susulan tindakan mereka yang mengeluarkan sebuah kenyataan mempersoalkan tindakan YDPA dalam menstabilkan konflik politik negara.

GAMIS telah menggesa UMANY memohon maaf secara terbuka atas kebiadaban mereka dan telah melancarkan laporan polis beramai-ramai menerusi cawangan GAMIS di setiap negeri.

Susulan laporan polis oleh GAMIS dan NGO-NGO yang lain, Presiden UMANY iaitu Yap Wei Qin telah pun dipanggil pihak PDRM untuk diambil keterangan serta disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 dan mantan Presiden UMANY, Wong Yan Ke turut ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menganggu pihak polis menjalankan tugas.

- Advertisement -

Namun yang mengecewakan lagi membebalkan, muncul pula adik-beradik keldai tunggangan DAP yang cuba menjustifikasikan tindakan biadab UMANY dan telah menyatakan solidariti mereka atas falasi dan pemahaman salah akan asas mengenakan yang sangat menyimpang dari semangat kenegaraan yang sebenar.

GAMIS memberi amaran kepada UMANY dan sekutu-kutunya agar jangan kalian cuba menjolok sarang tebuan. Hormati Perlembagaan Persekutuan dan jangan mencuba lagi mencabar kedudukan asas kenegaraan kita yang diiktiraf Perlembagaan Persekutuan. Kalian layak digelar pengkhianat negara!

GAMIS mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak PDRM atas tindakan tangkas PDRM dalam menyiasat dan memanggil individu-individu di sebalik persatuan cauvinis UMANY. Kami mendoakan agar segala tugas dan peranan yang dimainkan PDRM dalam menjaga keharmonian negara dapat dijalankan dengan lancar serta terus dilestarikan.

Sebagai panduan dalam pembinaan identiti negara yang sejati, GAMIS dengan ini menyeru kepada seluruh individu yang menggelarkan diri sebagai warganegara Malaysia agar menyematkan pengamalan Rukun Negara dalam kehidupan seharian serta menghayati Perlembagaan dan intipatinya mengikut tafsiran yang benar.

“Demi Islam, Mahasiswa Bangkit”

MUHAMMAD SYAZWAN MOHD AMIR
Pengerusi
Majlis Politik dan Nasional
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2020 – HARAKAHDAILY 9/11/2020

- Advertisement -