Keputusan laksana PKPB konsensus pakar-pakar

- Advertisement -

ADA pula yang mai dekat klinik memarahi saya, kenapa KKM buat PKPB! Menyusahkan dia kata. Terpaksa ambil cuti untuk jemput anak yang duduk asrama balik rumah.

Ada pula ustaz yang secara terbuka memarahi MKN dan Majlis Agama kerana bersetuju dengan PKPB. Kononnya wabak COVID-19 itu agenda konspirasi dan para mufti tidak mengambil Quran dan Sunnah sebagai panduan.

Hello tuan puan, saya bukan pembuat polisi itu. Tersalah orang tuan puan jengkal atas muka saya. Patutnya marahkanlah mereka yang buat keputusan itu.

- Advertisement -

Sebelum itu, saya nak tanya, adakah tuan puan pernah masuk bilik gerakan COVID-19? Atau tuan-puan terlibat dalam mana-mana strata hierarki pengurusan COVID-19 di pelbagai peringkat?

Kalau tak ada, baik duduk diam. Atau kalau tak puas hati juga jangan bising dekat media sahaja. Pergilah jumpa sendiri dengan pembuat polisi PKPB itu. Walaupun tuan-puan bebas mengeluarkan pendapat, tetapi kenyataan antagonis dalam media sosial boleh mengeruhkan lagi keadaan serta keeratan sesama kita. Lebih menyedihkan geng antivaksin, pembenci perubatan dan geng terdoktrin dengan teori konspirasi akan mengambil peluang untuk hentam balik pihak penguasa.

Saya percaya, setiap tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh pihak berwajib itu telah pun dibincang lumat atas bawah kiri kanan depan dan belakang. Baik buruk sesuatu arahan itu sudah dipertimbangkan satu persatu baik dan buruk.

Mengendalikan kes COVID-19 adalah sesuatu yang mencabar sebab kita tiada satu kayu ukur yang tepat. Setiap hari ada sahaja pelajaran baharu dipelajari dan terus dibentangkan di peringkat tertinggi untuk mengendalikannya. Mereka yang berada di bilik gerakan siang malam memikirkan bagaimana ingin menghapuskan wabak ini dengan kaedah terbaik. Serahkan kepada mereka.

Saya yakin dan percaya segala keputusan yang dibuat itu adalah melalui konsensus dari pakar-pakar dan mereka yang terlibat terus dalam pengurusan COVID-19 negara. 

Begitu juga para alim ulamak dan mufti yang membuat keputusan dalam pengurusan COVID-19 ini, mereka juga membuat yang terbaik. Hasil dari maklumat-maklumat sahih yang diperolehi dari pakar-pakar dan mereka yang berpengalaman. Mereka tiada kepentingan peribadi dalam menentukan keputusan ini. Mereka bukan juga mengikut telunjuk Yahudi. Mereka adalah mereka dengan segala keilmuan yang ada disertai dengan maklumat tepat yang diberikan. Pun begitu mereka bukannya maksum. Apa pun dalam isu ini saya lebih memberi thiqah kepada mereka berbanding ustaz-ustaz yang hanya sedap mulut melontarkan kata-kata.

Itulah pegangan saya yang lebih menenangkan fikiran.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 9/11/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -