Sokong usaha penyelesaian adil ke atas Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus menyokong usaha konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil serta berkekalan terhadap konflik Israel-Palestin.

Timbalan Menteri Luar, Dato’ Kamarudin Jaffar berkata, usaha itu berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan melalui rundingan melibatkan pihak-pihak yang berkaitan.

- Advertisement -

Katanya, isu berkaitan normalisasi hubungan dengan Israel telah mengundang pelbagai reaksi dari kalangan masyarakat antarabangsa termasuk peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta mewujudkan dimensi baharu dalam dinamik geo-politik di rantau Asia-Barat.

Kamarudin berkata dalam menyelesaikan isu Palestin, OIC sentiasa berpegang teguh kepada undang-undang antarabangsa, Inisiatif Damai Arab (Arab Peace Initiative) dan Penyelesaian Dua Negara (Two-State Solution).

“OIC sentiasa menyokong usaha-usaha bagi membolehkan rakyat Palestin mencapai aspirasi dan hak-hak mereka yang sah,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman [PAS-Sik] berkaitan langkah proaktif bersama badan antarabangsa seperti OIC bagi menyatakan bantahan berkaitan rancangan ketidakadilan normalisasi negara Israel untuk mengiktiraf penjajahan mereka ke atas Palestin.

Sedia maklum, Kerajaan UAE telah mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel pada 13 Ogos lalu, diikuti Bahrain pada 15 September dengan disaksikan oleh Amerika Syarikat.

Tindakan itu telah menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat Palestin.

Bagaimanapun, Kamarudin berkata perkembangan yang berlaku tidak akan menggugat pendirian teguh dan prinsip kerajaan Malaysia dalam menyokong pembentukan negara Palestin yang berdaulat melalui Penyelesaian Dua Negara. – HARAKAHDAILY 9/11/2020

- Advertisement -