M40 terkesan: Wujudkan mekanisme kenalpasti kesahihan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan satu mekanisme bagi mengenalpasti kesahihan golongan berpendapatan M40 yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19.

Setiausaha Politik Menteri Alam Sekitar dan Air, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, tidak semua golongan terjejas akibat ancaman wabak tersebut maka tiada sebarang keperluan bagi mereka untuk mengeluarkan simpanan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

- Advertisement -

“Saya melihat tidak ada keperluan untuk mereka melakukan pengeluaran daripada akaun KWSP kerana ia diperlukan bagi menempuh hari tua mereka kelak,” ujarnya dalam satu wawancara atas talian di Facebook Pemuda PAS Shah Alam, semalam.

Turut bersamanya ialah bekas Timbalan Naib Canselor UNISEL, Prof Zainal Kidam dan pentadbir Facebook Pemuda PAS Shah Alam selaku moderator.

Walau bagaimanapun, beliau mencadangkan kepada kerajaan agar memperluaskan pengeluaran wang KWSP daripada Akaun 1 kepada golongan lain selain perhatian diberikan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan sahaja.

“Ada juga dalam kalangan yang berpendapatan M40 bawahan ini yang terkesan dengan pendapatan mereka yang berkurangan kerana pelbagai elaun dipotong dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Mohd Zuhdi menambah, kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan adalah mencukup bagi keperluan pembayaran semula pinjaman kewangan dan menampung kekurangan pembayaran utiliti.

“Kebanyakan golongan pertengahan ini adalah suami isteri yang bekerja, sekiranya mereka benar-benar terkesan maka pengeluaran boleh dibenarkan dengan jumlah pengeluaran daripada kedua-duanya adalah RM1,000 dan boleh menampung kewangan keluarga sehingga 12 bulan akan datang,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul tengku Abdul Aziz mengumumkan di dalam Belanjawan 2021 kemudahan pengeluaran itu adalah bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan dan meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas.

Katanya, mengambil kira kedua-dua inisiatid i-Lestari serta kemudahan pengeluaran Akaun 1 ini, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga RM12,000. – HARAKAHDAILY 9/11/2020

- Advertisement -