Rintis perkhidmatan kerajaan secara atas talian E2E

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dipilih sebagai agensi projek rintis bagi peningkatan perkhidmatan dalam talian, End-to-End (E2E) sepenuhnya, pemantapan proses kerja dan pengurangan perkhidmatan kaunter. 

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata projek rintis sistem penyampaian kerajaan ke arah pengamalan norma baharu pasca COVID-19 melibatkan dua agensi itu dilaksanakan dalam tempoh enam bulan mulai bulan November 2020.

- Advertisement -

Beliau berkata dua agensi tersebut dipilih kerana merupakan agensi barisan hadapan yang menawarkan perkhidmatan secara langsung dan memberikan impak yang tinggi kepada rakyat dan komuniti perniagaan.

“Melalui projek rintis ini, diharapkan perkhidmatan kepada rakyat dapat dipercepat serta dipermudahkan dan bilangan pengunjung yang menggunakan perkhidmatan kaunter di kedua-dua buah agensi ini dapat dikurangkan, di samping dapat meningkatkan tahap kepuasan rakyat yang menerima perkhidmatan tersebut,” katanya.

Mohd Zuki berkata demikian dalam teks ucapannya pada majlis Kick-Off Projek Rintis Sistem Penyampaian Kerajaan Ke Arah Pengamalan Norma Baharu Pasca COVID-19, di sini hari ini.
 
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sempena majlis itu, badan itu telah diarahkan untuk merangka dan menyelaras strategi penyampaian perkhidmatan kerajaan ke arah pengamalan norma baharu pasca COVID-19.

“Fokus akan diberikan ke arah pendigitalan penyampaian perkhidmatan dengan memanfaatkan industri 4.0 yang menjurus kepada perkhidmatan E2E,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kerajaan menyasarkan peningkatan kadar penyampaian perkhidmatan sebanyak 40 peratus menjelang akhir tahun ini (2020) berbanding sasaran tahun 2019 sebanyak 20.2 peratus bagi perkhidmatan E2E sepenuhnya. – BERNAMA

- Advertisement -