Mertua terkejut mangsa nahas helikopter menantu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bapa mentua mangsa nahas helikopter di Kuala Lumpur semalam
terkejut kerana tidak menyangka menantunya sendiri terbabit dalam tragedi itu.

Wan Mahmud Wan Deraman mertua kepada allahyarham Mohd Irfan Rawi berkata,
beliau begitu terkejut apabila menerima berita mengenai kemalangan itu semalam.

- Advertisement -

“Kami memang terkejut dan berasa amat sedih selepas menerima berita tersebut. Saya terkejut sebab saya tidak tahu mangsa itu adalah menantu nombor dua saya,” katanya ketika ditemui semasa dikunjungi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Makanan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi hari ini.

Pada kejadian semalam, Mohd Irfan dan rakannya Komander (B) Mohamad Sabri Baharom maut selepas kemalangan membabitkan dua helikopter yang berlaku di Taman Melawati.

Wan Mahmud turut mengucap terima kasih kepada semua pihak yang membantu mengeluarkan jenazah menantunya di tempat kejadian.

“Terima kasih banyak kepada semua pihak yang terlibat dengan gerakan tersebut,” ujarnya.

Beliau ditemui Che Abdullah ketika dalam perjalanan bersama anak bongsu dan isterinya ke ibu negara untuk menemui anaknya Wan Nani Bazlin yang juga isteri kepada allahyarham Mohd Irfan.

Che Abdullah pula berharap semua keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Jalan Taman Melawati Ampang Jaya bersabar menghadapi ujian berkenaan. – HARAKAHDAILY 9/11/2020

- Advertisement -