Pengguna jalan raya diarah berpatah balik

Foto RIZAL TAHIR

PASIR PUTEH: Seramai 15 pengguna jalan raya dari arah Terengganu yang cuba memasuki sempadan Kelantan di sini hari ini diarah berpatah balik.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, 15 kenderaan terbabit diarah berbuat demikian kerana tidak mempunyai sebarang surat kebenaran untuk memasuki Kelantan.

Katanya seramai tujuh individu pula menjalani ujian swab ketika merentasi sekatan jalan raya (SJR) di Balai Polis Bukit Yong.

Advertisement

“SJR mula dilakukan jam 8 pagi tadi. Mereka terpaksa menjalani saringan Covid-19 itu kerana datang dari kawasan zon merah seperti Selangor, Johor dan Negeri Sembilan.

“Ujian mesti dilakukan terhadap pengguna jalan raya dari zon merah, namun ada juga kita buat kepada individu yang lain sekiranya perlu,” ujarnya kepada media ketika ditemui di SJR Balai Polis Bukit Yong hari ini.

Mohd Azmir juga tidak menolak kemasukan kenderaan ke Kelantan meningkat berbanding biasa terutama selepas pengumuman terbaru Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, pihaknya turut memeriksa penumpang bas khususnya bas ekspres bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kita akan mengambil langkah perlu termasuk jalankan ujian swab ke atas penumpang bas jika perlu,” katanya.

Menurutnya juga selain Bukit Yong, polis turut membuat SJR di Kampung Pachakan, Semerak bersempadan Kuala Besut. – HARAKAHDAILY 9/11/2020