Generasi ziarah mangsa kemalangan maut Felda Mempaga

Ustaz Roslan (tengah) mengetuai bacaan doa.
- Advertisement -

BENTONG: Aktiviti kunjung-mengunjung menjadi lesu ekoran pandemik Covid-19, namun aktiviti berkenaan masih dilaksanakan walaupun sekali-sekala asalkan mengikut tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

- Advertisement -

Ada negeri yang sedang ditandai zon merah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan ada daerah-daerah yang diletakkan di bawah jagaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Bagi negeri yang tidak berada di bawah kawalan berikut, ia membuka peluang kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melakukan aktiviti menziarah dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan namun pematuhan SOP tetap diamalkan.

Aktiviti di penghujung program.

Kesempatan ini digunakan oleh NGO Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) dengan menziarah rumah keluarga mangsa kemalangan maut di Felda Mempaga.

Mangsa maut dalam kemalangan yang berlaku beberapa hari lalu merupakan pelajar Sekolah Menengah Sertik.

Seusai menziarah, program yang diketuai oleh Presiden GENERASI, Ustaz Roslan Md Esa yang bermula sejak awal pagi tadi diteruskan dengan perbincangan bersama Pengerusi Masjid Felda Mempaga untuk kata putus pelaksanaan program Bicara Ummah yang akan mengundang penceramah terkenal, Ustaz Shamsul Debat dan Ustaz Roslan.

Bicara Ummah dijadualkan berlangsung pada 13 November depan selepas solat Maghrib bertempat di Masjid Felda Mempaga.

Program diteruskan dengan menziarah rumah kedua mangsa kemalangan maut, kehadiran kunjungan ini disambut oleh keluarga tersayang Allahyarham Haziq Iskandar.

Bacaan tahlil dan doa dititipkan kepada mangsa-mangsa kemalangan.

“Program menziarah ini baik dijadikan pengajaran untuk mengingatkan bahawa mati tidak mengira usia tua mahupun muda, apabila telah tiba ajalnya tidak terlewat dan terawal walau sesaat.

“Disebabkan itulah sebagai orang Islam haruslah membuat segala persiapan sebagai bekalan untuk ke akhirat kelak.

“Biarlah di dunia ini berpenat lelah dan sakit bagaimanapun ketahuilah bahawa semua itu akan menjadi saksi di akhirat nanti,” kata Ustaz Roslan yang juga merangkap Penyelaras PAS Dun Ketari.

Program ini berakhir sekitar tengah hari selepas mengunjungi sahabat taulan dari kaum Cina untuk berkongsi dan berbual santai bagi mengeratkan lagi ikatan perpaduan kaum. – HARAKAHDAILY 5/11/2020

- Advertisement -